PUTRAJAYA: Pelaksanaan hari pertama Bekerja Dari Rumah (BDR) dalam kalangan penjawat awam hari ini dilihat memberi kesan positif apabila keadaan trafik di sekitar pusat pentadbiran kerajaan itu lebih terkawal berbanding kebiasaan.
Tinjauan Utusan Malaysia pada waktu puncak pagi mendapati aliran trafik lancar walaupun masih terdapat pergerakan kenderaan keluar masuk ke Putrajaya.
Selain itu, tinjauan turut mendapati kebanyakan kawasan parkir masih penuh seperti biasa, namun terdapat beberapa lokasi yang hanya diisi kira-kira separuh, mencerminkan pengurangan kehadiran fizikal ke pejabat.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan lebih 200,000 penjawat awam akan melaksanakan arahan bekerja dari rumah (BDR) bermula 15 April lalu.
Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan dasar BDR membabitkan kementerian, agensi, badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan(GLC) bermula hari ini susulan
krisis tenaga global sebagai usaha penjimatan kos.
Pelaksanaan BDR selama tiga hari seminggu itu hanya terpakai kepada penjawat awam di Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor dan semua ibu negeri yang tinggal dalam jarak lebih lapan kilometer dari pejabat.
Malahan dasar itu juga tidak melibatkan penjawat awam dalam sektor keselamatan dan pertahanan serta kesihatan dan pendidikan. – UTUSAN










