JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang penjawat awam disyaki terlibat dalam kes amang seksual terhadap seorang pelajar perempuan di sekitar bandar raya ini, awal tahun ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek lelaki berusia 28 tahun itu ditahan di pekarangan Balai Polis Pelangi Indah, di sini semalam.
Katanya, tangkapan itu dilakukan selepas mangsa iaitu seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun membuat laporan mengenainya, pada hari yang sama.
“Kejadian dipercayai berlaku pada 25 Januari lalu di dalam sebuah kenderaan yang diletakkan di hadapan kediaman mangsa di Johor Bahru,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Suspek kini direman sehingga Selasa depan bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut yang dijalankan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. – UTUSAN










