PUTRAJAYA: Pelaksanaan hari pertama Bekerja Dari Rumah (BDR) dilihat bukan sahaja membantu menjimatkan kos harian malah mengurangkan tekanan serta melancarkan aliran trafik pada waktu puncak.
Tinjauan di sekitar Putrajaya mendapati aliran trafik pada waktu pagi berada dalam keadaan terkawal berbanding kebiasaan walaupun terdapat pergerakan keluar masuk kenderaan di beberapa laluan utama.
Seorang penjawat awam, Muhamad Aizat Zarif Mohd Zunaidi, 27, berkata, pelaksanaan BDR memberi perubahan ketara dalam rutin hariannya apabila tidak lagi perlu berulang-alik ke pejabat seperti kebiasaan.
Menurutnya, sebelum ini beliau perlu keluar rumah seawal pukul 7 pagi sebelum mengambil masa kira-kira 40 minit ke tempat kerja, selain berdepan kesesakan trafik terutama pada waktu puncak.
“Dengan BDR, saya boleh terus mula bekerja dari rumah tanpa perlu bersiap dan menghadapi kesesakan. Masa lebih jimat dan kurang stres kerana tidak perlu memandu dalam keadaan jalan sesak,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, pelaksanaan itu turut memberi manfaat dari segi kewangan apabila perbelanjaan harian dapat dikurangkan dengan ketara.
“Sebelum ini saya membelanjakan sekitar RM30 seminggu untuk minyak, namun dengan BDR saya boleh jimat hampir RM100 termasuk kos makan kerana boleh masak di rumah,” katanya.
Tambahnya, selain menjimatkan kos, pelaksanaan BDR juga memberi lebih fleksibiliti dalam mengurus masa harian, sekali gus meningkatkan keseimbangan antara kerja dan kehidupan.
Seorang lagi penjawat awam, Nur Azreen Anis Jamal Amidy, 24, berkata, pelaksanaan BDR memberi kelegaan dari segi pengurusan masa dan tekanan harian, khususnya berkaitan perjalanan ke tempat kerja.
Katanya, sebelum ini beliau bergantung kepada pengangkutan awam serta perkhidmatan e-hailing, yang bukan sahaja memakan masa tetapi juga melibatkan kos yang tinggi terutama ketika waktu puncak atau keadaan cuaca tidak menentu.
“Dengan BDR, saya tak perlu lagi fikir soal kesesakan, kelewatan LRT atau MRT, serta kos e-hailing yang boleh mencecah antara RM20 hingga RM30 sehari,” katanya.
Menurutnya, selain penjimatan kos pengangkutan, perbelanjaan makan harian juga dapat dikurangkan kerana makanan boleh disediakan di rumah.
“Kalau bekerja di pejabat, sekurang-kurangnya RM20 sehari diperlukan untuk makan. Jadi bila BDR, perbelanjaan itu dapat dikurangkan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berpendapat kaedah kerja secara hibrid adalah lebih sesuai dalam jangka panjang kerana masih memerlukan interaksi secara bersemuka bagi tujuan tertentu.
“Interaksi secara fizikal penting terutama untuk perbincangan melibatkan perkara kritikal kerana kita boleh lihat reaksi dan memahami situasi dengan lebih jelas.
“Pada masa sama, BDR tetap membantu menjimatkan masa dan kos, jadi pendekatan hibrid dilihat sebagai situasi menang-menang untuk pekerja dan majikan,” katanya.
Lebih 200,000 penjawat awam melaksanakan arahan bekerja dari rumah (BDR) bermula semalam.
Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan dasar BDR membabitkan kementerian, agensi, badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan(GLC) bermula hari ini susulan krisis tenaga global sebagai usaha penjimatan kos. – UTUSAN










