Simpan, belanja atau labur duit raya anak?

Simpan, belanja atau labur duit raya anak?

DUIT raya membuka ruang terbaik untuk mendidik anak tentang pengurusan wang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AIDILFITRI bukan sekadar perayaan kemenangan selepas sebulan berpuasa tetapi turut menjadi detik paling dinanti oleh kanak-kanak. Selain pakaian baharu dan juadah istimewa, pemberian duit raya menjadi simbol kegembiraan serta kasih sayang dalam masyarakat.

Namun, selepas Syawal berakhir, timbul persoalan penting dalam kalangan ibu bapa, bagaimana sebaiknya mengurus duit raya anak?

Dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar, duit raya tidak lagi boleh dianggap sebagai wang kecil. Ia sebenarnya aset awal yang boleh membantu membentuk asas kewangan anak jika diurus dengan bijak.

Pada asasnya, duit raya ialah hak anak, manakala ibu bapa bertindak sebagai pemegang amanah yang perlu mengurusnya secara bertanggungjawab.

Namun, pendekatan ibu bapa berbeza-beza. Ada yang menyimpan sepenuhnya, ada yang membenarkan anak membelanjakan sebahagian dan ada juga yang menggunakannya untuk keperluan keluarga.

Walaupun situasi kewangan tertentu boleh difahami, ketiadaan perancangan yang jelas boleh menghilangkan peluang pendidikan kewangan sejak awal usia.

Sebenarnya, duit raya membuka ruang terbaik untuk mendidik anak tentang pengurusan wang. Ibu bapa boleh membahagikannya kepada tiga bahagian iaitu simpan, belanja dan kongsi. Kaedah ini membantu anak memahami nilai wang secara seimbang.

Sebahagian kecil boleh digunakan untuk membeli barangan yang mereka inginkan supaya mereka belajar membuat keputusan kewangan. Sebahagian lagi perlu disimpan untuk masa hadapan bagi memupuk tabiat menabung.

Manakala bahagian untuk berkongsi boleh digunakan bagi tujuan sedekah agar anak belajar nilai empati dan tanggungjawab sosial.

Dalam jangka pendek, ibu bapa boleh memberi ruang kepada anak untuk menggunakan sebahagian duit raya bagi keperluan kecil mereka.

Namun, bahagian terbesar wajar disimpan secara sistematik, sama ada melalui akaun simpanan atau instrumen kewangan seperti Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), Tabung Haji atau Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Dalam jangka panjang, simpanan ini boleh menjadi tabung pendidikan atau dana masa hadapan anak. Jika dilakukan secara konsisten, jumlahnya akan menjadi signifikan apabila mereka dewasa.

Ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk sikap kewangan anak. Mereka bukan sahaja perlu mengawal tetapi juga membimbing. Cara ibu bapa mengurus wang akan mempengaruhi cara anak melihat kewangan pada masa hadapan.

Duit raya bukan sekadar pemberian bermusim tetapi peluang penting untuk membina asas literasi kewangan anak. Jika diurus dengan bijak, ia mampu menjadi pelaburan kecil yang memberi kesan besar terhadap masa depan mereka. – UTUSAN

DR. NORHALIZA ABU BAKAR
Pusat Pengajian Diploma,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN