Simpan duit raya langkah bijak untuk masa hadapan

Simpan duit raya langkah bijak untuk masa hadapan

DENGAN mengurus duit raya anak secara bijak, kita bukan sahaja menabung wang, tetapi menabung masa depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hari ini, sudah tiba masanya untuk kita menukar perspektif. Duit raya bukan sekadar ‘wang kecil’ untuk membeli permainan atau makanan ringan. Jika diurus secara berhemat dan melabur secara konsisten, ia mampu menjadi dana pendidikan, deposit rumah pertama atau permulaan kepada pelaburan masa hadapan anak-anak.

Bagi ibu bapa yang ingin memastikan duit raya anak tidak sekadar ‘hilang’ begitu sahaja, berikut adalah beberapa cadangan instrumen kewangan yang sesuai:

  • Simpan di Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) di bawah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Ia mempunyai pulangan dividen kompetitif dan memberi pelepasan cukai kepada ibu bapa. Sesuai untuk perancangan pendidikan tinggi anak-anak.
  • Amanah Saham Bumiputera (ASB) pula menawarkan pulangan yang stabil dan risiko rendah, sesuai untuk simpanan jangka panjang anak-anak.
  • Tabung Haji antara pilihan terbaik yang bukan sahaja patuh syariah dan selamat, malah membolehkan ibu bapa mendaftarkan anak untuk giliran menunaikan haji. Dengan hanya RM1,300, anak sudah boleh didaftarkan dan tempoh menunggu akan bermula lebih awal. Ini memberi kelebihan besar untuk mereka menunaikan haji pada usia muda. Satu pelaburan spiritual yang tidak ternilai.
  • Simpanan emas pula alternatif simpanan yang mampu melindungi nilai terhadap inflasi dalam jangka masa panjang.
  • Unit Amanah patuh syariah sesuai bagi ibu bapa yang ingin memberi pendedahan kepada pasaran saham tetapi tidak mempunyai masa untuk mengurus pelaburan sendiri.

Ibu bapa juga boleh melibatkan anak-anak dalam proses menyimpan, contohnya dengan membawa mereka ke bank atau membuka akaun pelaburan atas nama anak. Langkah kecil ini memberikan impak besar dari sudut psikologi dan pendidikan kewangan awal anak-anak.

Pastikan setiap pelaburan yang dibuat sah, berlesen dan dipantau oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia atau Bank Negara Malaysia.

Pelaburan yang sah tidak menjanjikan pulangan terlalu tinggi dalam masa singkat. Jika ia kelihatan terlalu indah untuk jadi kenyataan, mungkin itu satu penipuan. Jangan biarkan duit raya anak-anak hangus dalam skim cepat kaya atau pelaburan tidak sah. Gunakan saluran rasmi dan rujuk penasihat kewangan bertauliah sebelum membuat keputusan.

Kesedaran masyarakat tentang kepentingan mengurus duit raya anak-anak secara bijak penting bagi memastikan wang tersebut tidak hanya habis dibelanjakan dalam jangka pendek, tetapi dimanfaatkan sebagai asas kukuh untuk masa hadapan kewangan anak-anak, sama ada dalam bentuk pendidikan, pelaburan, mahupun ibadah seperti menunaikan haji.

Sebagai ibu bapa, kita bertanggungjawab bukan sahaja membesarkan anak-anak secara fizikal, tetapi juga membina asas kewangan yang kukuh buat mereka.

Dengan mengurus duit raya anak secara bijak, kita bukan sahaja menabung wang, tetapi menabung masa depan. Semoga selepas ini, setiap kali anak menerima sampul di pagi raya, kita bukan hanya tersenyum kerana anak gembira, tetapi juga kerana kita telah merancang sesuatu yang besar untuk masa hadapan mereka. – UTUSAN

DR. NORSHELA MOHD. NOH
Jabatan Teknologi Kejuruteraan Mekanikal
Fakulti Teknologi Kejuruteraan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×