Dua jam beratur tukar duit raya - Utusan Malaysia

Dua jam beratur tukar duit raya

Duit raya
SEBAHAGIAN pelanggan beratur bagi penukaran duit raya dekat sebuah bank di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Di mana-mana sahaja cawangan bank sekitar bandar raya ini yang membenarkan penukaran duit raya, sesak, malah ada pelanggan beratur sehingga dua jam untuk berbuat demikian sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri minggu depan.

Seorang pelanggan dekat sebuah cawangan bank, di sini, Nor Alina Hishamuddin, 35, berkata, dia tiba sejam lebih awal sebelum bank dibuka kerana bimbang terpaksa datang semula jika kehabisan wang.

“Datang awal hari ini kerana takut duit baharu habis. Kalau hari ini habis, esok kena datang semula. Kalau datang semula, saya kena buang masa lagi dengan kena beratur semula dan tunggu giliran untuk dapatkan duit baharu,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Pemberian duit raya adalah sinonim dengan umat Islam di negara ketika sambutan Aidilfitri. Justeru itu, ramai yang kini sedang sibuk menukar duit baharu untuk diberikan kepada anak-anak kecil.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati ribuan umat Islam berpusu-pusu ke bank di sekitar  bandar raya ini bagi mendapatkan duit baharu selepas mereka membenarkan penukaran wang mulai hari ini.

Sementara itu, seorang pengawal keselamatan yang hanya mahu dikenali sebagai Amir berkata, cawangan bank jagaannya memberhentikan sementara urusan penukaran wang baharu pada hari ini, kira-kira pukul 11 pagi kerana kehabisan wang untuk ditukar.

Menurutnya, bagaimanapun, orang ramai masih lagi berpeluang untuk menukar wang esok dan Jumaat ini.

“Setiap individu hanya dibenarkan menukar wang baharu maksimum iaitu RM1 (500 keping), RM5 (500 keping) dan RM10 (100 keping). Saya jangka hari ini lebih 100 orang yang hadir untuk buat urusan ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya