Perlu reformasi menyeluruh dalam pengajian Islam

Perlu reformasi menyeluruh dalam pengajian Islam

KURIKULUM perlu memberi penekanan kepada pembacaan teks asal, halaqah kitab dan latihan analisis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM usaha universiti di Malaysia memperkasa pengajian Islam dengan elemen kontemporari seperti kepimpinan, keselamatan dan hubungan antarabangsa, satu persoalan asas semakin terpinggir, iaitu sejauh mana siswa benar-benar menguasai bahasa Arab Turath sebagai kunci kepada khazanah ilmu Islam.

Hakikatnya, institusi pengajian tinggi sedang berdepan krisis senyap. Ramai pelajar pengajian Islam memperoleh keputusan cemerlang, namun gagal membaca teks turath secara langsung.

Kajian tempatan menunjukkan penguasaan kosa kata Arab pelajar hanya sekitar 1,500 hingga 2,000 perkataan, sedangkan tahap minimum untuk memahami teks ilmiah mencecah 3,000 hingga 5,000 perkataan.

Pelajar semakin bergantung kepada terjemahan, nota ringkas dan sumber sekunder. Teks Turath tidak lagi menjadi rujukan utama, sebaliknya hanya hadir dalam bentuk ringkasan yang dipermudahkan.

Akibatnya, lahirlah generasi celik ijazah tetapi buta Turath. Mereka memiliki kelayakan akademik, namun gagal menelusuri sumber asal ilmu. Istilah seperti maqasid, qiyas dan dalalah sering difahami secara permukaan tanpa menyelami perbahasan ulama silam.

Malah, ramai pelajar mengelak teks asal kerana dianggap sukar, sekali gus menandakan kemerosotan budaya membaca dalam tradisi ilmu Islam.

Tradisi ilmu Islam menuntut disiplin sanad, autoriti dan metodologi yang ketat, sedangkan kecerdasan buatan (AI) hanya berasaskan data tanpa kefahaman sebenar. Kebergantungan berlebihan kepada teknologi ini boleh melemahkan pemikiran kritis serta mengurangkan keupayaan memahami teks agama secara mendalam.

Kelemahan penguasaan bahasa Arab Turath memberi implikasi besar terhadap kualiti keilmuan. Risiko salah tafsir meningkat, khususnya dalam disiplin seperti usul fiqh dan tafsir. Lebih membimbangkan, interaksi langsung dengan khazanah ulama semakin hilang.

Walaupun bahasa Arab diajar di universiti, pendekatan yang terlalu berfokus kepada tatabahasa gagal melahirkan keupayaan membaca teks Turath sebenar. Pelajar memahami teori tetapi tidak mampu mengaplikasikan dalam bacaan kitab klasik.

Akhirnya, bahasa Arab kekal sebagai subjek peperiksaan, bukan alat penguasaan ilmu.

Bahasa Arab Turath perlu dilihat sebagai benteng intelektual yang melindungi ketulenan kefahaman agama. Penguasaan bahasa ini membuka akses kepada perbahasan ulama yang kaya dengan hujah, analisis dan disiplin pemikiran yang mendalam.

Justeru, reformasi pengajian Islam perlu dilaksanakan secara menyeluruh. Kurikulum perlu memberi penekanan kepada pembacaan teks asal, halaqah kitab dan latihan analisis. Pensyarah perlu membimbing pelajar berinteraksi dengan Turath secara langsung, bukan sekadar menyampaikan teori.

Penguasaan bahasa Arab Turath bukan lagi pilihan tetapi keperluan strategik. Tanpanya, generasi baharu mungkin memiliki maklumat tetapi kehilangan kefahaman. Masa depan pengajian Islam bergantung kepada sejauh mana kita kembali kepada sumber asal ilmu dan tradisi keilmuan yang sahih. – UTUSAN

DR. MHD FAIZAL MHD. RAMLI
Pensyarah & Penyelidik Balaghah
al-Quran dan Sosiopragmatik,
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN