fbpx

23 Januari 2022, 7:07 am

  TERKINI

Perarakan kematian diiringi helikopter langgar SOP

MIOR Faridalathrash Wahid (tengah) pada pelancaran Op Cegah Jenayah Khas Kontinjen Perak di Ipoh semalam. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis mengesahkan video tular perarakan kematian di Little India di sini semalam yang diiringi helikopter terbang rendah, melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, laporan polis berhubung kejadian itu telah diterima dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan pihaknya.

“Kita akan lihat sama ada mereka ada memohon kebenaran untuk mengadakan perarakan. Kalau ikut SOP ditetapkan MKN, perarakan memang tidak dibenarkan terutama melibatkan kematian.

“Siasatan juga bagi mengetahui adakah mereka telah mendapat kebenaran Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk helikopter tersebut terbang rendah,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Op Cegah Jenayah Khas Kontinjen Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini semalam.

Menurut beliau, siasatan insiden itu dijalankan daripada pelbagai sudut bagi melihat sekiranya wujud kesalahan-kesalahan lain.

“Yang pasti, ada pelanggaran SOP iaitu perarakan. Apa pun, siasatan sedang dijalankan dan apabila siasatan selesai, kita akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Video perarakan kematian berdurasi 30 saat itu tular di media sosial sejak semalam yang memaparkan konvoi ke lokasi pengebumian diiringi khidmat helikopter terbang rendah dan kuda. – UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI