Penglibatan komuniti maritim dalam jenayah rentas sempadan membimbangkan - Utusan Malaysia

Penglibatan komuniti maritim dalam jenayah rentas sempadan membimbangkan

HAMID Mohd. Amin (kiri) bersama Penasihat ABF di Malaysia, Superintenden John Fleming sempena Pelancaran Operasi Redback Ke-16 di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melahirkan kebimbangan lebih ramai komuniti maritim setempat terlibat dengan jenayah rentas sempadan di Selat Melaka khususnya perairan Johor Barat.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Muda Maritim Hamid Mohd. Amin berkata, perkara itu didorong oleh desakan hidup setelah terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19.

Beliau berkata, ini kerana jenayah rentas sempadan lazimnya didalangi sindiket yang mempergunakan warga tempatan sebagai ejen-ejen jenayah terbabit.

“Lebih membimbangkan apabila warga tempatan yang menjadi tali barut kepada kegiatan sindiket itu dengan berperanan sebagai transporter dan spotter dilihat mampu menghasilkan pendapatan yang lumayan.

“Sekiranya perkara ini tidak ditangani secara cekap dan strategik melalui pendekatan kesedaran, penguatkuasaan dan hukuman, ia akan menjadi barah dalam masyarakat.

“Oleh itu, fokus Op Redback ke-16 ini menitikberatkan elemen komunikasi strategik dalam menyedarkan masyarakat agar menghentikan penglibatan mereka dalam jenayah seperti penyeludupan manusia, dadah dan barangan terlarang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Op Redback ke-16 kerjasama antara Maritim Malaysia dan Australian Border Force (ABF) di Ibu pejabat Maritim Negeri Johor, di sini hari ini.

Op Redback merupakan satu inisiatif kerjasama antara kedua-dua agensi tersebut dalam usaha mengekang, membanteras dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan melalui kawasan perairan sejak 2013.

Op Redback ke-16 ini berlangsung selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 21 November di perairan Johor Barat di Batu Pahat dan Muar yang menumpukan komunikasi strategik di lokaliti tertentu.

Dalam pada itu, Hamid berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan berlaku peningkatan kegiatan penyeludupan migran ke negara susulan pembukaan semula sektor ekonomi yang memerlukan ramai pekerja warga asing.

Katanya, perkara itu turut menjadi kebimbangan agensi terbabit setelah ramai masyarakat setempat yang bertindak menjadi penghantar (transporter) untuk menghantar pendatang asing tanpa izin (PATI) ini ke Ibu kota.

“Ada besar kemungkinan (peningkatan penyeludupan migran) setelah negara kita menjadi tumpuan dan menjanjikan banyak peluang pekerjaan (pasca Covid-19).

“Nasihat kami kepada mereka yang bertindak sebagai ejen sindiket ini untuk tidak terlibat sebaliknya melaporkan kegiatan itu kepada pihak berkuasa. Kami faham rakyat terkesan pandemik, tetapi ini bukanlah caranya, bantu kami tangani jenayah ini,” katanya.

Difahamkan penghantar dianggarkan menerima bayaran sekurang-kurangnya RM3,000 bagi setiap migran yang dibawa masuk dan spotter antaranya menerima upah dadah bagi membantu sindiket rentas sempadan.

Sejak awal tahun sehingga kini, Maritim Johor menahan 115 PATI dan membuat rampasan dadah seberat 142 kilogram (kg) berjumlah RM7.1 juta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN