Pengguna tersepit, faedah tinggi , diugut ah long - Utusan Malaysia

Pengguna tersepit, faedah tinggi , diugut ah long

A. NAGARAJU dan DAVID CHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: ‘Ah long datang ke rumah untuk menagih hutang serta mengugut akan menggangu saya jika gagal membuat bayaran pinjaman beserta kadar faedah,”.

Itu kerisauan yang dialami seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Anis Ahmad setelah membuat pinjaman wang daripada beberapa pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau ah long dalam tempoh dua bulan iaitu September dan Oktober untuk kegunaan perniagaan dan peribadi.

Katanya, kebanyakan proses membuat pinjaman dilakukan secara dalam talian tanpa perlu datang ke premis pinjaman wang. Wang pinjaman hanya dimasukkan menerusi akaun bank dan bayaran pinjaman serta faedah juga perlu dibayar melalui bank.

Namun, disebabkan kekangan kewangan, Anis gagal membayar faedah yang terlalu tinggi. Kegagalan menjelaskan bayaran pinjaman serta kadar faedah yang dikenakan menyebabkan Ahlong datang ke rumahnya di Putatan dan pejabatnya dekat sini.

“Ah long datang menagih hutang dan sekiranya saya gagal jelaskan bayaran pinjaman yang dikatakan mencecah RM25,600, mereka mengugut untuk terus menggangu saya. Pinjaman asal kira-kira RM15,000 sahaja,” katanya.

Ugutan yang diterima itu menyebabkan Anis membuat laporan polis kerana khuatir keselamatan dirinya akan terjejas kerana kegagalan menjelaskan pinjaman yang tiba-tiba bertambah hampir dua kali ganda.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Pertubuhan Hal Ehwal Pelindung dan Pengguna Sabah (CAPS), Datuk A. Nagaraju berkata, ketika pandemik Covid-19 melanda, banyak pengusaha perniagaan dan individu berhadapan dengan kesempitan wang hingga terpaksa meminjam daripada ah long.

Walau bagaimanapun, banyak pinjaman wang tidak berlesen ini mempunyai kadar faedah yang tersorok dan terlalu tinggi hingga membebankan peminjam sukar menjelaskan bayaran ketika ekonomi negara masih belum pulih.

Oleh itu katanya, kerajaan perlu memantau kegiatan pinjaman wang tidak berlesan ini agar tidak mudah membuat iklan melalui telefon mahupun di kawasan awam.

Isu pinjaman wang daripadda ah long ini merupakan isu yang sudah berlanjutan begitu lama tetapi, tiada jalan penyelesaian tuntas mengenai langkah membendung kegiatan ah long ini.

Presiden Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah (PPBPBS), David Chan pula berkata, biarpun kegiatan ah long masih berlaku di Sabah namun, tindakan mereka di Sabah tidak agresif dan berlaku keganasan melampau.

Justeru, tidak banyak aduan mahupun laporan polis berkaitan ah long dilaporkan di Sabah. Jika ada kes sekalipun, ia agak terpencil dan ah long tidak bertindak ganas terhadap peminjam.

Namun ketika pandemik ini, berkemungkinan ah long juga tidak sesuka hati memberi pinjaman tanpa menyemak status seseorang. Pemberi pinjaman wang juga tahu orang ramai tidak mampu membayar balik pinjaman kerana ketiadaan kerja dan wang.

“Saya percaya ah long akan kembali aktif selepas ekonomi semakin pulih bagi memudahkan mereka menagih hutang daripada peminjam,” katanya.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN