TANPA disedari setiap hari selepas pulang kerja, segelintir daripada kita berseronok dengan rakan singgah di kedai kopi lantas bercakap atau menyibuk hal orang lain (gosip) dengan perkataan dan bahasa yang dilontarkan ikut ‘sedap mulut’ sambil bergelak ketawa.
Bersembang hal orang lain, memperkata kelemahan, kekurangan seperti rupa paras, harta, pendidikan dan perkara tertentu merupakan perbuatan sia-sia dan berdosa.
Malah berkumpul di kedai kopi bersembang hal yang boleh menimbulkan dosa dikira membuang masa, merugikan wang berbelanja minuman dan makanan.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Setiausaha Persatuan Guru Takmir Masjid dan Surau Negeri Pahang, Ustaz Alwi Muda berkata, perbuatan menceritakan perihal orang lain menimbulkan dosa dan tidak langsung memperoleh faedah apa-apa dan keberkatan.
Beliau berkata, Al-Imam Hasan Al-Basri pernah berpesan kepada kita satu nasihat tentang keberkatan hidup. Kata Hasan Al Basri, “Salah satu tanda bahawa Allah SWT telah berpaling daripada hamba-Nya adalah, dia menyibukkan hamba-Nya dengan perkara sia-sia.”
“Seseorang yang kuat beribadat seperti solat termasuk amalan sunat, bersedekah, berpuasa, membaca al-Quran dan sebagainya tidak akan mencapai darjat takwa dan Allah serta malaikat tetap mencatat dosanya sekiranya masih menumpukan hal yang sia-sia dan tidak berfaedah,” katanya ketika ditemui di Kuantan baru-baru ini.
Perkara ini, menurut beliau, jelas menerusi sabda Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh At-Tirmidzi dan Ibn Majah bermaksud: “Seseorang tidak akan mencapai darjat takwa sebelum dia meninggalkan hal-hal yang tidak berguna kerana khuatir jatuh kepada perkara yang sia-sia.”
Beliau berkata, sikap hasad atau dengki, iaitu perasaan tidak selesa melihat orang lain beroleh nikmat dan kelebihan, sebaliknya mengharapkan agar nikmat dan kelebihan itu lenyap daripada saudaranya sepatutnya perlu dijauhi .
ALWI MUDA
Tarikh Lahir: 2 April 1965
Tempat Lahir: Kampung Losong, Kuala Terengganu, Terengganu
Pendidikan tinggi:
Maktab Perguruan Sri Pinang, Pulau Pinang tahun 1984-1986 )
Fakulti Bahasa Moden, Universiti Putra Malaysia (tahun 1997 – 2001.)
Pekerjaan dahulu:
Penolong Kanan Pentadbiran, SMK Sungai Lembing
Pengarah YADIM Negeri Pahang
Jawatan Sekarang:
Setiausaha Persatuan Guru Takmir Masjid dan Surau Negeri Pahang
Pengerusi NGO Pertubuhan Peduli Progresif (PPP)
Pengerusi NGO Pertubuhan Santuni Ummah Pahang (SANTUN)
Panel penceramah Ceramah Pilihan, Pahang
Rasulullah SAW bersabda menerusi hadis riwayat Abu Daud, bermaksud: “Berwaspadalah kamu tentang hasad! Sesungguhnya hasad memakan semua kebaikan sebagaimana api memakan kayu.”
Ustaz Alwi berkata, seseorang Muslim itu wajar berubah sikap dengan meninggalkan perkara yang sia-sia dalam kehidupannya dan berlawanan dengan perintah Allah, di samping melakukan pengisian hidup dengan pelbagai amal kebajikan.
Katanya, mengata dan mengumpat hanya menambah dosa selain menjejaskan hubungan sesama manusia.
Tambahnya, Rasulullah SAW bersabda dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmidzi dan Ibnu Majah yang bermaksud, “Sebahagian daripada kebaikan keIslaman seseorang ialah dengan meninggalkan perkara yang tidak berguna”.
Katanya, semakin hari, kita asyik menyibukkan diri dengan hal orang lain , semakin jauh kita dengan Allah malahan hati kita bertambah hitam dengan dosa dan akhirnya lalai daripada melakukan ibadat.
Sebagai contohnya, sekiranya kita asyik membuang masa melayari media sosial menerusi aktiviti tidak berfaedah seperti menonton pornografi, membalas komen dengan maki-hamun, memperlekeh orang lain dan sebagainya dikhuatiri seseorang itu semakin jauh dengan Allah.
Katanya, perkara itu dijelaskan oleh Allah dalam surah Al-Hadid, ayat 16 yang bermaksud: Belum tibakah waktunya bagi orang yang beriman, untuk secara khusyuk mengingati Allah dan mematuhi kebenaran yang telah diwahyukan (kepada mereka)? Dan janganlah mereka (menjadi) seperti orang yang telah menerima Kitab sebelum itu, kemudian mereka melalui masa yang panjang sehingga hati mereka menjadi keras, dan banyak di antara mereka menjadi orang fasik.’- –UTUSAN









