Roti kahwin malam panas daripada ketuhar

Sedapnya roti kahwin malam panas daripada ketuhar

AHMAT ASHAR melayan pelanggan yang mahu menikmati menu istimewa roti di kedainya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Roti kahwin biasanya sinonim sebagai hidangan sarapan. Namun sebuah perniagaan di Tawau, Sabah tampil berbeza apabila menjadikan menu klasik itu sebagai pilihan santapan pada waktu petang hingga malam.

Meski pun roti kahwin mempunyai beberapa variasi termasuk gaya mamak yang menggabungkan roti canai kosong bersama roti telur, pemilik Roti Kahwin Malam yang diusahakan Ahmat Ashar, 36, lebih mengekalkan gaya tradisional menggunakan roti putih lembut yang dibakar atau dikukus.

Tarikannya terletak pada roti yang dihidangkan segar dan masih panas sebaik sahaja keluar dari ketuhar kemudian diletak pilihan inti mengikut cita rasa pelanggan.

“Kalau waktu siang, memang ramai sudah menjual roti kahwin. Jadi, kami cuba fokus pada waktu malam dan dari situlah tercetus nama Roti Kahwin Malam.

“Kami mahu mengubah selera pelanggan. Pada awalnya kami tidak yakin, namun lama-kelamaan pelanggan boleh terima roti kahwin sebagai makanan ringan waktu malam.

 

 

 

“Menariknya, pelanggan yang datang akan dapat roti pilihan mereka yang masih panas sebab baru keluar dari oven (ketuhar)” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia.

Ahmat yang juga pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berkata, tekstur roti yang lebih lembut dan padat menjadi antara tarikan utama pelanggan tidak jemu menikmati roti kahwin di premis berkenaan.

Katanya, keistimewaan roti kahwin turut terletak pada roti dan seri kaya buatan sendiri yang menjadi pelengkap kepada hidangan berkenaan.

“Setiap hari saya bersama lima pekerja menghasilkan kira-kira 500 biji roti dengan penggunaan tepung mencecah 100 kilogram (kg).

“Roti kami dibuat menggunakan kaedah tradisional tanpa menggunakan mesin pengembang doh. Selepas adunan siap, ia akan dikembangkan secara semula jadi sebelum dibakar.

“Teksturnya yang lebih lembut, padat dan tidak keras menjadikan roti kahwin yang kami hasilkan sentiasa menjadi pilihan pelanggan,” katanya.

 

 

 

Menurut Ahmat, antara menu paling mendapat permintaan adalah roti kahwin seri kaya bersama mentega, roti kahwin bakar, roti kahwin coklat, roti kahwin sangkaya dan roti kahwin keju. Bukan itu sahaja, perniagaan berkenaan turut menawarkan pelbagai menu berasaskan roti seperti cakoi, cakoi kahwin, pau bakar dan pau kukus.

Beliau yang berasal daripada Kedah berkata, perniagaan itu mula beroperasi sejak 2019 dan kini dibuka setiap hari bermula pukul 2 petang hingga 10 malam, di Jalan Kuhara Off Jalan Melati, berhampiran jalan utama menuju ke Jalan Air Panas.

Roti Kahwin Malam

No 1359, KM2, Jalan Kuhara, 91008 Tawau, Sabah.
Nombor telefon:
012-818 5353

 

“Alhamdulillah, sambutan daripada pelanggan semakin hari semakin baik. Mungkin kerana konsep roti kahwin pada waktu malam ini sudah mula diterima dan digemari ramai,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui pandemik Covid-19 menjadi antara cabaran terbesar sepanjang mengusahakan perniagaan itu apabila jualan agak perlahan.

Katanya, situasi itu mendorong beliau menggunakan khidmat penghantaran secara dalam talian bagi memastikan perniagaan terus bertahan.

“Ketika Covid-19, jualan memang agak sunyi. Jadi, kami gunakan khidmat penghantaran dalam talian untuk terus berniaga.

“Alhamdulillah, daripada tempoh sukar itu kami masih mampu bertahan sampai sekarang,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN