Mengubah persepsi terhadap rawatan kanser

Mengubah persepsi terhadap rawatan kanser

Pesakit kanser mahu didengari dan mereka memerlukan pengesahan emosi, perasaan mereka diiktiraf dan difahami.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Apabila disahkan mengalami kanser, kebanyakan pesakit pasti diselubungi rasa sedih bercampur gusar mengenangkan kehidupan pasti tidak lagi berjalan seperti sebelum ini.

Rutin seharian berubah dalam sekelip mata yang mula dipenuhi dengan sesi rawatan di hospital dan rawatan agresif yang membuatkan kehidupan seakan terhenti.

Ramai rakyat Malaysia masih mengaitkan persepsi bahawa rawatan kanser sinonim dengan kemoterapi yang membebankan serta kesan sampingan ekstrem.

Walaupun kemoterapi dan radioterapi masih menjadi rawatan utama, kemajuan dalam rawatan moden sudah banyak mengubah lanskap rawatan.

Seiring dengan kemajuan sains, rawatan kanser tidak lagi menggunakan pendekatan yang sama untuk semua pesakit. Sebaliknya, ia kini lebih tepat, diperibadikan, dan bermatlamat untuk membantu pesakit menjalani kehidupan yang bermakna, bukan sekadar untuk kelangsungan hidup.

Bersempena dengan Hari Kanser Sedunia yang bertemakan United by Unique, menegaskan, walaupun berkongsi diagnosis yang sama, pengalaman setiap pesakit kanser adalah unik.

Ini kerana biologi setiap individu berbeza, begitu juga dengan latar belakang kehidupan, aspirasi, kebimbangan serta keutamaan yang membentuk perjalanan mereka.

Pakar Perunding Onkologi Klinikal, Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Dr. Marfu’ah Nik Eezamuddeen berkata, pendekatan rawatan diperibadikan yang berpusatkan pesakit membentuk cara pesakit menjalani rawatan kanser hari ini.

 

 

“Dalam tempoh sedekad lalu, pendekatan rawatan kanser telah berubah dengan ketara. Dahulu, keputusan rawatan banyak ditentukan berdasarkan lokasi asal kanser, seperti payudara atau paru-paru, dan dipandu oleh piawaian protokol.

“Kini, doktor dapat meneliti dengan lebih mendalam. Melalui ujian patologi molekul, pakar dapat menganalisis biologi serta profil unik setiap kanser. Ini membolehkan pelan rawatan disesuaikan mengikut ciri genetik kanser individu dan tidak lagi bergantung sepenuhnya pada kaedah konvensional,” katanya.

Katanya lagi, dua pesakit mungkin didiagnosis dengan kanser payudara atau paru-paru yang sama, namun sifat biologi kanser dan konteks kehidupan mereka mungkin berbeza.

Di Malaysia, akses yang semakin meluas terhadap ujian molekul membantu pakar onkologi membuat keputusan klinikal lebih pantas dan tepat, mengenal pasti terapi yang lebih efektif dengan kesan sampingan yang lebih

terkawal.
Kemajuan seperti imunoterapi dan terapi sasaran oral membolehkan rawatan memusnahkan sel kanser dengan lebih spesifik. Dalam kebanyakan kes, terapi ini lebih mudah diterima oleh tubuh dan membolehkan pesakit mengekalkan rutin harian mereka.

“Rawatan kanser hari ini selalunya lebih mudah diurus. Ramai pesakit tetap mampu bekerja, menguruskan keluarga dan mengekalkan kebebasan sepanjang tempoh rawatan.

“Impak perubahan ini sangat ketara dalam rawatan kanser paru-paru dan payudara, di mana kadar kelangsungan hidup semakin meningkat secara drastik. Namun, apa yang lebih utama bukanlah sekadar tempoh hayat tetapi bagaimana mengisi kehidupan,” katanya.

Katanya, pesakit seperti ibu-ibu muda berpeluang melihat anak-anak mereka membesar serta meneruskan kerjaya sepanjang rawatan. Pencapaian ini mengingatkan bahawa penjagaan kanser bukan lagi sekadar memanjangkan usia, tetapi memelihara tujuan, identiti dan makna kehidupan.

Latar belakang, gaya hidup, kepercayaan, serta tanggungjawab keluarga pesakit adalah elemen penting. Ada yang mementingkan jangka hayat, manakala ada yang lebih mengutamakan kebebasan atau kualiti masa bersama anak-anak.

Dengan menyelami keutamaan ini, pelan rawatan dapat diselaraskan dengan apa yang paling bermakna bagi setiap individu.

Perjalanan Emosional Pesakit

Di sebalik kemajuan dalam dunia perubatan, impak kanser turut menyentuh aspek rohani dan mental yang kompleks. Perjalanan emosi pesakit seringkali mencabar dan berlapis.

Kaunselor SJMC, Kuah Rui Ning pula berkata, saat diagnosis diterima, ia seumpama ribut yang melanda tanpa amaran, kejutan, penafian, ketakutan dan rasa tidak berdaya. Ramai yang merasakan dunia mereka terhenti seketika.

“Apabila fasa rawatan bermula, dinamik emosi turut berubah. Permulaannya dikuasai kebimbangan dan keazaman. Namun apabila kesan fizikal mula terasa, pesakit akan memasuki fasa pertengahan yang amat mencabar.

“Keletihan mental dan kehilangan motivasi adalah lumrah dalam fasa ini. Namun, pesakit menunjukkan ketabahan luar biasa. Ramai pesakit menyedari bahawa mereka sebenarnya jauh lebih kuat daripada yang mereka sangkakan. Mereka menemui kekuatan dalaman yang sebelum ini tidak pernah disedari,” katanya.

Katanya, fasa pasca-rawatan juga mempunyai kerumitannya tersendiri. Walaupun ada kelegaan, seringkali wujud trauma terhadap kemungkinan kanser berulang serta cabaran untuk membina semula kepercayaan terhadap tubuh mereka sendiri. Memulihkan rasa normal memerlukan keberanian yang mendalam.

Dalam setiap peringkat ini, ada satu keperluan konsisten. Pesakit mahu didengari dan mereka memerlukan pengesahan emosi, perasaan mereka diiktiraf dan difahami.
bantu luah perasaan

Memahami cara pesakit menguruskan emosi adalah komponen dalam proses rawatan dan penjagaan, menggunaan alat penilaian seperti ‘termometer tekanan’ untuk membolehkan pesakit mengukur tahap tekanan emosi atau fizikal mereka secara visual.

Bagi sesetengah pesakit, emosi seperti ketakutan atau rasa cemas sukar diluahkan dengan kata-kata. Alat ini membantu pesakit meluahkan emosi, sekali gus membuka ruang perbincangan mengenai beban sebenar yang mereka tanggung.

“Selain sesi kaunseling konvensional, integrasikan terapi seni ekspresif juga boleh dijalankan melalui medium lukisan dan warna. Pesakit dapat menyalurkan emosi yang mungkin terlalu berat untuk diluahkan dengan kata-kata.

“Proses ini mewujudkan ruang selamat untuk refleksi diri. Ia membantu pesakit mengekspresikan pengalaman mereka dengan cara yang lebih lembut, membantu mereka berhubung dengan diri sendiri di saat segalanya terasa asing,” katanya.

Penjagaan kanser yang berpusatkan pesakit melangkaui sempadan rawatan klinikal. Ia menuntut integrasi antara kesejahteraan emosi, mental dan sosial yang bergerak seiring dengan pemulihan fizikal.

Ahli keluarga dan penjaga memainkan peranan amat penting. Perkhidmatan kaunseling berfungsi untuk memperkukuh sistem sokongan ini menerusi wadah pendidikan, bimbingan emosi serta panduan komunikasi yang berkesan.

Perjalanan United by Unique – Disatukan Keunikan

Hari Kanser Sedunia mengingatkan semua bahawa walaupun kanser mungkin kelihatan serupa pada paparan imbasan atau laporan makmal, namun setiap perjalanan ini adalah berbeza.

Semangat United by Unique menuntut kita untuk mengiktiraf bahawa kecemerlangan sains dan ketulusan empati perlu berjalan seiringan. Ia adalah mengenai merawat penyakit tanpa sesekali meminggirkan maruah insan disebaliknya.

Kemajuan dalam perubatan diperibadikan serta penekanan terhadap sokongan emosi pada hari ini, penjagaan kanser bukan lagi sekadar perjuangan untuk kelangsungan hidup. Ia membantu pesakit meneruskan kehidupan dengan bermakna, bermaruah, dan penuh harapan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN