Lapan pasang kasut, enam paddle – Andi Bernadee kini ‘gila’ pickleball - Utusan Malaysia

Lapan pasang kasut, enam paddle – Andi Bernadee kini ‘gila’ pickleball

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bagi sesetengah individu, hobi bukan sekadar aktiviti mengisi masa lapang, sebaliknya menjadi medium untuk menjaga kesihatan fizikal dan mental.

Begitu juga buat penyanyi, Andi Bernadee atau Andi Azrul Andi Mapangile yang kini semakin aktif menjalani gaya hidup sihat menerusi rutin senaman dan sukan pickleball.

Menurut Andi, perubahan gaya hidup itu juga berkait rapat dengan usahanya untuk meningkatkan berat badan, selain memastikan tahap kesihatannya sentiasa berada dalam keadaan baik.

“Saya sekarang memang lebih aktif bersenam. Kalau sukan, saya main pickleball tapi tidaklah hebat sangat. Dalam masa sama, saya lebih fokus kepada latihan untuk membina otot.

“Selain itu, saya pergi gimnasium tujuh hari seminggu dan setakat ini memang belum pernah ponteng lagi sebab itu juga salah satu cara saya menaikkan berat badan,” katanya kepada Pancaindera.

Mengalami penyakit autoimun hipertiroid, penyanyi berusia 35 tahun itu mengakui tahap kesihatan yang tidak mengizinkan menyebabkan pergerakannya terbatas untuk tempoh tertentu.

“Saya mula bermain sejak tahun lalu. Ketika itu saya masih belum tahu mengenai penyakit hipertiroid itu. Tapi bila saya sakit, saya tidak boleh main beberapa bulan sebab perlu menjaga kadar degupan jantung.

“Saya tidaklah terlalu aktif sebab saya bukan main setiap minggu. Tapi kalau ada masa, saya pergi juga. Cuma sekarang saya masih belum boleh berlari terlalu kuat lagi.

“Kalau kita mahu sihat, kita perlu pandai menjaga masa untuk berehat. Sekarang saya sudah mula bermain semula selepas beberapa bulan, tetapi tidak terlalu bersungguh,” jelasnya.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Donde itu menyedari rutin tersebut memerlukan pengurusan masa yang baik dan mengutamakan kemampuan fizikal ketika bermain agar kesihatan tidak terjejas.

Menyentuh mengenai peranan sukan dalam proses pemulihan dirinya, Andi menyifatkan aktiviti tersebut menjadi antara cara untuk mengalihkan fokusnya daripada tekanan ketika berdepan masalah kesihatan.

“Kalau tanya saya, saya memang suka sukan yang perlukan kerjasama berkumpulan. Tapi apabila sedang sakit, aktiviti ini agak membantu dari segi mengisi masa dan mengurangkan tekanan stres.
“Saya suka komuniti pickleball sebab kami bukan jenis bermain secara serius. Saya suka bermain secara santai dan banyak gelak ketawa,” kongsinya.

Bagi Andi, manfaat pickleball bukan sekadar tertumpu kepada kecerdasan fizikal semata-mata, sebaliknya membantu membina hubungan dan kerjasama dalam kalangan pemain.

“Orang selalu fokus kepada aspek fizikal sebab sukan ini memang perlukan kecerdasan mental dan fizikal. Tapi bagi saya, yang lebih penting adalah kerjasama.

“Saya lebih suka bermain empat orang. Suasananya lebih seronok. Yang penting kita gembira ketika beriadah tanpa perlu memikirkan tentang persaingan. Lagipun kalau badan tidak mampu, kita pun tidak perlu terlalu memaksa,” katanya lagi.

Mengulas mengenai keterujaan terhadap sukan tersebut, Andi tidak menafikan dirinya mula meminati aktiviti itu sehingga sanggup mengumpul pelbagai kelengkapan berkaitan pickleball.

“Walaupun sekarang tidak terlalu aktif, untuk kasut pickleball sahaja saya ada hampir lapan pasang. Semuanya warna berbeza. Saya suka padankan warna. Saya bukan jenis yang kejar barang berjenama.

“Kalau saya rasa kasut itu cantik dan selesa, saya pakai sahaja. Untuk paddle pula saya ada enam pasang. Setiap satu ada fungsi dan kelebihan berbeza,” ujarnya.

Walaupun mengakui sudah melabur ribuan ringgit untuk hobinya itu, Andi menganggap perbelanjaannya masih dalam kawalan dan tidak berlebihan.

“Dari segi perbelanjaan kelengkapan, memang saya berhabis juga sampai ribuan ringgit. Tapi masih terkawal. Alhamdulillah saya tidak obses sampai melampau,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN