RANTAU PANJANG: Ketulan batu kononnya mengandungi emas yang dijumpai di Kampung Bukit Lata, di sini baru-baru ini rupa-rupanya batu logam biasa yang tidak mempunyai nilai tinggi sebagaimana disangka.
Perkara itu disahkan tukang emas di sekitar pekan ini selepas beberapa penduduk membawanya untuk diuji dan ditentukan nilai, sekali gus menyebabkan mereka pulang dengan tangan kosong.

Difahamkan, kebanyakan penduduk yang memiliki ketulan batu itu sudah membuangnya, malah, ada antara mereka mencampaknya ke dalam Sungai Kelantan kerana terlalu hampa.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penghulu Mukim Siram, Zamri Yahya, 49, mengakui ramai hampa apabila ketulan batu yang mereka sangka bernilai tinggi sekadar batu biasa berwarna keemasan kerana kandungan mineralnya.
“Hasil ujian dilakukan para tukang emas mendapati tiada bijih emas ditemui dalam batuan tersebut sebagaimana yang ditularkan di Facebook sebelum ini. Jadi ramai sudah membuangnya.
“Mengikut sejarah, lokasi ini sebelum ini kaya dengan bijih besi dan lazimnya bijih emas tidak akan berada di lokasi yang sama dengan bijih besi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Zamri berkata, berdasarkan penelitian beberapa pakar, ketulan batu dijumpai penduduk terbabit berkemungkinan jenis batu logam yang memang mudah didapati di kawasan yang kaya dengan bijih besi.
Sementara itu, peniaga warung, Deraman Musa, 50, berkata, dia antara penduduk yang menyerbu lokasi tersebut sebaik khabar mengenai penemuan ketulan batu mengandungi emas tersebar.
“Kecewa punya pasal, saya bertindak membuang kesemua ketulan batu yang dikumpul ke dalam Sungai Kelantan,” katanya.
Turut membuang ketulan batu itu, penduduk mahu dikenali sebagai Yeh, 45, yang memberitahu, selepas orang ramai mengetahui status sebenar ‘batu emas’ itu, tiada lagi kerja-kerja mencari dilakukan di tapak pembinaan tebatan banjir.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Kampung Bukit Lata menjadi tumpuan orang ramai hujung minggu lalu selepas penduduk digemparkan dengan penemuan ketulan batu didakwa mengandungi emas.
Bagaimanapun, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, kerajaan negeri Kelantan belum menerima laporan rasmi sama ada dari Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) atau Pejabat Tanah dan Galian (PTG) berhubung penemuan emas itu. – UTUSAN











