Pemandu treler wanita nyaris gilis penunggang motosikal didenda RM6,000 - Utusan Malaysia

Pemandu treler wanita nyaris gilis penunggang motosikal didenda RM6,000

NOOR Haffizza Che Ani didenda RM6,000 selepas dia mengaku bersalah memandu tanpa cermat sehingga menyebabkan kecederaan ke atas seorang pemuda di Mahkamah Majistret, Klang, Selangor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Seorang pemandu treler wanita didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memandu tanpa cermat sehingga menyebabkan kecederaan ke atas seorang penunggang motosikal, 24 November lalu.

Majistret, Amirul Asyraf Abd. Rashid turut memerintahkan hukuman penjara enam bulan sekiranya orang kena saman (OKS), Noor Haffizza Che Ani gagal membayar denda tersebut.

Amirul turut memerintahkan lesen memandu Noor Haffizza, 35, disemak sebelum diserahkan semula kepadanya.

Berdasarkan pertuduhan, Noor Haffizza yang masih bujang itu didakwa memandu lori treler di atas jalan raya tanpa kecermatan dan perhatian yang sepatutnya sehingga menyebabkan berlakunya kecederaan kepada Mohamad Iftiqar Mohamad Amran, 29, pada pukul 8.30 pagi, 24 November lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kawasan stesen minyak di Bandar Sultan Suleiman, di sini dan dituduh mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda sehingga RM10,000 dan penjara sehingga 12 bulan.

Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku ketika OKS sedang membuat pusingan ‘U’ di dalam kawasan stesen minyak.

Dia telah melanggar seorang lelaki yang sedang mengepam angin tayar motosikal yang berada di hadapannya.

Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal terbabit tertolak ke kiri dan terjatuh sebelum mengalami kecederaan.

Terdahulu dalam rayuannya, Noor Haffizza memohon mahkamah memberikan denda yang lebih rendah kerana menanggung ibu yang sakit terlantar.

“Saya memohon lesen memandu tidak ditarik kerana ia merupakan sumber rezeki bagi menanggung ibu yang sakit terlantar,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur’ Ayuni Jamri bagaimanapun memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal bagi memberikan pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan pemandu treler terbabit nyaris menggilis pemuda yang sedang mengepam angin tayar motosikalnya di sebuah stesen minyak tular, enam hari lalu.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao dilaporkan berkata, pemandu wanita terbabit telah tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara pada petang hari kejadian.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.