Dunia seni sering dikaitkan dengan bakat, kerja keras dan peluang. Namun, bagi sesetengah selebriti Korea Selatan, perjalanan mereka dalam industri hiburan seakan sudah tertulis sejak kecil.
Membesar dalam keluarga yang cukup dekat dengan dunia lakonan, muzik dan produksi, mereka bukan sahaja terdedah kepada selok-belok industri sejak usia muda, malah ada yang memilih untuk meneruskan legasi seni yang telah dibina.
Pun begitu, memiliki nama keluarga yang dikenali bukanlah tiket untuk mereka mencipta kejayaan dengan mudah. Masing-masing tetap membina kerjaya dan membuktikan kemampuan sendiri.
Berikut selebriti Korea Selatan yang datang dari keluarga seni:-
Sieun (STAYC)
Anggota kumpulan STAYC, Sieun atau nama sebenarnya Park Si Eun ialah anak kepada Park Nam Jung, penyanyi veteran Korea Selatan yang sangat popular pada penghujung 1980-an.
Sieun terlebih dahulu memilih bidang lakonan sebelum mengikut jejak bapanya sebagai penyanyi.
Dia memulakan kerjaya sebagai pelakon kanak-kanak pada 2014 dan kemudian membintangi beberapa drama termasuk Six Flying Dragons, Still 17 dan Mystic Pop-up Bar.
Kemampuan lakonannya turut mendapat pengiktirafan apabila memenangi anugerah lakonan kategori pelakon muda menerusi Still 17 di SBS Drama Awards 2018 sebelum membuka lembaran baharu apabila membuat debut bersama STAYC pada 2020.
Ha Jung Woo
Ha Jung Woo atau nama sebenarnya Kim Sung Hoon dilahirkan pada 1978 dan anak sulung kepada Kim Yong Gun, pelakon veteran Korea Selatan yang terkenal menerusi pelbagai drama televisyen.
Jung Woo juga mempunyai seorang adik yang turut menjadi penyeri industri seni Korea Selatan iaitu Cha Hyun Woo atau Kim Young Hoon.
Kerjaya seni Jung Woo mula mendapat perhatian umum selepas banyak membintangi filem terkenal Korea Selatan seperti The Chaser, The Yellow Sea, The Berlin File, The Terror Live, Assassination, The Handmaiden dan siri Along with the Gods. Selain berlakon, dia turut bergelar pengarah dan penulis skrip.
Choi Min Soo
Choi Min Soo merupakan anak kepada pasangan pelakon, Choi Moo Ryong dan Kang Hyo Shil. Dia juga cucu kepada pelakon, pengarah filem dan penyanyi, Kang Hong Shik.
Neneknya juga seorang pelakon, Jeon Ok yang merupakan antara bintang terawal perfileman Korea dan terkenal dengan menerusi drama bersiri Queen of Tears.
Min Soo memulakan kerjaya seninya pada 1985 sebelum namanya mula dikenali menerusi siri Sandglass pada 1995.
Lee Yoo Bi
Lee Yoo Bi, anak kepada pelakon veteran Kyeon Mi Ri, yang sudah lama aktif dalam industri drama Korea. Bapa kandungnya, Im Young Gyu, juga seorang pelakon.
Adiknya, Lee Da In, turut memilih kerjaya sebagai pelakon dan dikenali menerusi beberapa drama Korea. Lee Da In pula berkahwin dengan penyanyi serta pelakon terkenal Lee Seung Gu pada 2023.
Yoo Bi sendiri memulakan kerjaya lakonan pada 2011 dan kemudian dikenali menerusi drama seperti The Innocent Man, Gu Family Book, Pinocchio, Yumi’s Cells dan The Escape of the Seven.
Yeon Jung Hoon
Yeon Jung Hoon merupakan anak kepada pelakon veteran Korea Selatan, Yeon Kyu Jin yang sudah lama berkecimpung dalam industri hiburan dan dikenali menerusi pelbagai drama televisyen.
Menariknya, Jung Hoon pada asalnya tidak merancang mengikut jejak bapanya kerana lebih meminati dunia automotif dan pernah bercita-cita menjadi pereka kereta.
Namun, Jung Hoon akhirnya berjaya membina nama sendiri menerusi drama seperti Yellow Handkerchief, Sad Love Story, East of Eden dan Vampire Prosecutor.











