MELAKA: Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing mempunyai kelebihan berbanding Perikatan Nasional (PN) meskipun berhadapan pertembungan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Sekali gus, berkemungkinan kedua-dua gabungan itu berpeluang menang tipis seperti mana keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
BN menang 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU-14, manakala PH pula berjaya memiliki majoriti 15 kerusi daripada keseluruhan 28 DUN.
Walau bagaimanapun, perkara itu bergantung kepada peratusan keluar mengundi dengan sekurang-kurangnya mencapai 80 peratus, di samping kredibiliti calon.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Eksekutif Pusat Kajian Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berkata, BN dan PH dilihat mempunyai peluang seimbang, namun kedua-duanya juga mempunyai liabiliti.
Katanya, ia sekali gus boleh menjadi faktor kekalahan kerana wujud beberapa isu melanda termasuk penolakan terhadap beberapa calon diketengahkan.
Bagaimanapun jelas beliau, perkara itu masih terlalu awal untuk dijangka, ekoran kemunculan PN sebagai gagasan politik baharu yang dilihat boleh memberi kesan kepada corak pengundian khususnya dalam kalangan pengundi Melayu, meskipun dua komponennya iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) hanya menumpang tuah Pas.
“Jika mengikut pengiraan awal, saingan sengit dalam pilihan raya ini adalah antara BN dan PH. Tetapi corak pengundi sudah berubah apabila berlakunya pandemik Covid-19 sekaligus memberi kesan kepada orang ramai untuk keluar mengundi kerana masih bimbang dijangkiti virus tersebut.
“Oleh demikian faktor peratusan pengundi keluar mengundi boleh menjadi faktor kemenangan BN dan PH. Sekalipun mereka ada pengundi setia, jika mereka masih takut keluar mengundi adalah sukar mereka meraih kemenangan, justeru itu parti-parti ini perlu menyasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus pengundi untuk keluar memangkah kertas undi,” katanya ketika dihubungi.
PRN Melaka diadakan pada 20 November ini ekoran pembubaran DUN Melaka Ke-14 pada 4 Oktober lalu.
Sebanyak 495,196 orang pengundi berdaftar termasuk 106 pengundi tidak hadir (PTH) luar negara direkodkan dalam Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) dalam PRN Melaka kali ini.
Dalam pada itu, Pengarah PRN Melaka DAP, Khoo Poay Tiong mengakui, sukar untuk meramalkan jangkaan kemenangan atau kekalahan mana-mana pihak berikutan pertembungan tiga penjuru atau lebih di beberapa kerusi.
Beliau berkata, BN dan PH selaku pemain utama masing-masing mempunyai aset dan liabiliti yang bakal mempengaruhi pengundi terutama kelompok atas pagar.
Jelasnya, BN mungkin akan terjejas di kubu kuat mereka iaitu beberapa kerusi dalam Parlimen Jasin berikutan perasaan tidak puas hati dalam kalangan akar umbi, manakala PH pula kini terpalit ‘kontroversi’ selepas PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) masing-masing menerima bekas pemimpin UMNO sebagai calon.
“Buat masa ini sukar nak ramal sapa akan menang, itu saya akui. Masing-masing ada kelebihan dan ada kekurangan.
“Berkenaan isu calon DUN Asahan, Datuk Seri Idris Haron dan calon DUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan. PKR dan Amanah kena guna peluang ketika berkempen untuk jelaskan kenapa mereka diterima,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yakin BN mempunyai peluang cerah untuk memenangi PRN Melaka.
Menurutnya, biarpun ramai berpendapat calon-calon yang diketengahkan boleh menjejaskan BN, namun beliau tidak melihat perkara tersebut boleh menyekat peluang kemenangan.
Beliau berkata, walaupun senarai yang ditampilkan 86 peratus daripadanya adalah muka baharu, tetapi mereka mempunyai kriteria dan kepakaran melayakkan diri dipilih sebagai calon.
“Kesemua calon tersebut telah melepasi pelbagai tapisan pemilihan terperinci dilakukan sebelum mereka dipilih untuk menjadi calon.
“Mungkin ramai berpendapat terlalu ramai calon baharu boleh menjejaskan peluang BN untuk merampas kembali kerajaan negeri ini,” katanya. – UTUSAN










