Pegawai JKM dituduh salah guna wang bantuan baiki rumah 

Pegawai JKM dituduh salah guna wang bantuan baiki rumah 

MOHAMAD Zarir Khozali (kiri) yang mengaku tidak bersalah menyalahgunakan wang bantuan membaiki rumah JKM keluar dari Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini. - FOTO/NUR ANATI JUHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menyalahgunakan wang bantuan membaiki rumah pada 2016 dan 2017.

Tertuduh, Mohamad Zarir Khozali, 41, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad @ Shaharudin.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh ketika bertugas di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kulim dekat sini didakwa menyalahgunakan wang bantuan membaiki rumah sebanyak RM3,000 kepunyaan P. Nagajothi pada 15 Mac 2017.

Lelaki terbabit juga didakwa melakukan kesalahan tersebut pada hari dan lokasi sama membabitkan wang bantuan membaiki rumah sebanyak RM3,000 kepunyaan M. Jothi.

Tertuduh turut berdepan pertuduhan bagi kesalahan serupa membabitkan wang bantuan membaiki rumah sebanyak RM3,000 kepunyaan Umi Kalsom Awang di lokasi sama pada 19 September 2016.

Pendakwaan bagi setiap pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan tidak lebih lima tahun dan dengan sebat dan denda.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Mohd. Zulfadli Azharudin mencadangkan tertuduh diberikan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Tertuduh yang diwakili peguam, Mohd. Hakim Hamran merayu supaya ikat jamin diberikan pada kadar rendah atas alasan tertuduh akan digantung kerja selain bakal dibayar separuh gaji.

“Tertuduh mempunyai tanggungan seorang isteri, empat anak dan masih menanggung ibu bapa berusia 65 dan 68 tahun,” katanya.

Setelah mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Hamri Thamri membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin serta perlu mematuhi syarat ditetapkan antaranya tidak mengganggu pengadu.

Tertuduh kemudian membayar wang jaminan di kaunter Kompleks Mahkamah Alor Setar bersama seorang penjamin.

Kes akan disebut semula pada 16 Disember depan bagi penyerahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya