SEREMBAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dibubarkan berkuat kuasa hari ini, 5 Jun 2026.
Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun semasa sidang akhbar di kediaman rasmi beliau di sini malam tadi.
Aminuddin berkata, ia selepas mendapat perkenan sejurus beliau menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada pukul 8.30 malam.
“Saya telah ikut peraturan mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, itu sahaja, saya mendapat perkenan.
“Selepas ini pilihan raya dan kita akan hantar notis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kita serahkan kepada SPR untuk tentukan tarikh pilihan raya dan juga hari mengundi,” katanya kepada pemberita.
Aminuddin juga memaklumkan, pembubaran DUN juga menjadi penyelesaian terbaik kepada kemelut politik yang melanda negeri ini.
“Mula mula tarik, tak sokong saya, tarik daripada kerajaan, ia nampak tak sesuai, jadi saya rasa perlu dapatkan mandat baru, serahkan kepada rakyat untuk tentukan masa depan,” katanya.
Aminuddin berkata, Pakatan Harapan (PH) akan bertanding di kesemua 36 kerusi DUN di negeri ini.
“Pembahagian kerusi akan dimuktamadkan minggu depan tapi sudah selesai,” katanya – UTUSAN










