Hakim Danish miliki pakej lengkap di litar kering, basah

Hakim Danish miliki pakej lengkap di litar kering, basah

Hafizh Syahrin (tengah) bergambar bersama Kasma Daniel (dua kiri) dan Nazirul Izzat (dua kanan) pada majlis memperkenalkan duta UMA Racing dan atlet RCB di Putrajaya, hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah menyifatkan pelumba Moto3, Hakim Danish Ramli sebagai pelumba yang memiliki kelebihan istimewa apabila mampu mempamerkan prestasi cemerlang dalam keadaan litar kering mahupun basah dalam Kejuaraan Motosikal Dunia.

Hafizh yang kini bersaing dalam Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) berkata, kemampuan Hakim Danish untuk bersaing dalam kedua-dua keadaan itu menjadikannya antara prospek pelumba Malaysia paling menarik terutama selepas mempamerkan peningkatan ketara dalam kempen Moto3, musim ini.

“Kalau kita tengok, Hakim bukan sahaja bagus di litar kering tetapi juga sangat kompetitif ketika hujan. Jadi dia ada dua pakej yang lengkap.

“Berbanding sesetengah pelumba yang lebih selesa dalam satu keadaan sahaja, Hakim boleh menyesuaikan diri dengan baik tidak kira litar kering atau basah,” katanya kepada pemberita pada majlis memperkenalkan duta UMA Racing dan atlet di bawah naungan RCB di sini, hari ini.

Selain Hafizh yang dilantik sebagai atlet RCB dan duta UMA Racing, pelumba-pelumba lain yang menyertai senarai tersebut ialah David Alonso (pelumba Moto2), Hakim Danish (Moto3), Kasma Daniel Kasmayudin (ARRC), Nazirul Izzat Muhammad Bahauddin (ARRC) dan Qabil Irfan Azlan (Moto4).

Menurut Hafizh, keyakinan yang semakin meningkat turut membantu pelumba muda itu bersaing secara konsisten dalam kelompok hadapan meskipun beraksi dalam musim pertamanya di pentas dunia.

Pelumba itu juga percaya gabungan bakat, keberanian dan kemampuan menyesuaikan diri dalam pelbagai keadaan akan membantu Hakim Danish terus mencipta keputusan lebih baik pada baki saingan, musim ini.

Selain itu, katanya lagi, pelumba berusia 18 tahun itu juga semakin matang dan memiliki pakej lengkap untuk terus mencabar kelompok hadapan dalam kejuaraan dunia Moto3.

“Peningkatan yang dipamerkan Hakim Danish sejak awal musim amat ketara sehingga dia kini tidak lagi kelihatan seperti seorang rookie.

“Saya bangga dengan Hakim Danish. Pada awal musim mungkin dia agak gementar, tetapi dalam dua pusingan terakhir dia nampak semakin yakin dan peningkatannya sangat jelas.

“Sekarang dia nampak bukan seperti pelumba baharu. Dia mampu menyesuaikan diri dengan baik dan sentiasa berada dalam kelompok hadapan,” ujarnya.

Hafizh berkata, pencapaian Hakim Danish yang sudah berjaya menaiki podium pada musim pertamanya wajar dianggap sebagai sesuatu yang cukup memberangsangkan memandangkan saingan Moto3 terkenal dengan persaingan yang sangat rapat.

Dalam masa sama, Hafizh turut memuji program pembangunan yang dijalankan oleh Zulfahmi Khairuddin menerusi ZK Racing yang disifatkannya sebagai platform terbaik untuk membantu pelumba muda Malaysia berkembang ke peringkat lebih tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN