Tiga beregu negara ke suku akhir di Jakarta

Tiga beregu negara ke suku akhir di Jakarta

GOH Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani menjadi wakil tunggal Malaysia dalam sektor beregu lelaki yang berjaya meloloskan diri ke suku akhir, selepas gandingan No. 3 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tersingkir pada Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia di Jakarta, Indonesia, hari ini.

Beregu profesional yang menghuni ranking No. 8 dunia itu menamatkan badi kekalahan kepada wakil England, Ben Lane-Sean Vendy 21-11, 21-13 dalam masa 31 minit pada pusingan kedua di Istora Senayan.

Bekas gandingan No. 1 dunia itu yang kini kembali berada pada prestasi terbaik akan berdepan pasangan India, Hariharan Amsakarunan-M. R. Arjun di suku akhir, esok.

Amsakarunan-Arjun yang berada di ranking ke-30 dunia itu menewaskan beregu muda Malaysia, Kang Khai Xing-Aaron Tai 21-16, 15-21, 19-21 dalam masa 48 minit.

Aaron-Wooi Yik pula tewas mengejut kepada beregu muda tuan rumah, Raymond Indra-Nikolaus Joaquin 14-21, 14-21 dalam masa 33 minit.

Bagaimanapun, hari suram beregu lelaki negara ditebus gandingan wanita, No. 2 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah yang menewaskan Hsu Ya Ching-Sung Yu Hsuan dari Taiwan 21-18, 21-19 dalam masa 30 minit.

Pada suku akhir, Pearly-Thinaah akan bertemu beregu No. 13 dunia, Rui Hirokami-Sayaka Hobara selepas wakil Jepun itu menewaskan gandingan muda Malaysia, Ong Xin Yee-Carmen Ting 14-21, 21-18, 13-21 dalam masa 1 jam 5 minit.

Rentak kemenangan Pearly-Thinaah diteruskan Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai yang akhirnya memecah kebuntuan kemenangan ke atas tuan rumah, Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu 21-15, 21-19 dalam masa 41 minit.

Kemenangan Soon Huat-Shevon itu merupakan kejayaan sulung mereka ke atas beregu No. 9 dunia itu dengan rekod pertemuan kini dirapatkan kepada 1-3.

Pasangan suami isteri yang menghuni ranking No. 12 dunia itu akan bertemu pasangan No. 6 dunia, Thom Gicquel-Delphine Delrue dari Perancis di suku akhir.

Sementara itu, tiga lagi wakil Malaysia yang turut mengalami kekalahan di pusingan kedua adalah wakil perseorangan lelaki dan wanita, Leong Jun Hao serta K. Letshanaa dan beregu campuran, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN