KUALA LUMPUR: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dijadual membuat satu pengumuman khas malam ini, sekali gus mencetuskan spekulasi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menerusi notis yang diedarkan kepada pengamal media hari ini, semua wakil media diminta hadir ke Kediaman Rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan pada pukul 11 malam bagi mengikuti pengumuman berkenaan.
Bagaimanapun, kandungan pengumuman khas itu tidak dinyatakan dalam jemputan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Akhbar Menteri Besar.
Perkembangan tersebut hadir selepas Aminuddin dijangka menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bagi memohon perkenan pembubaran DU Negeri Sembilan.
Sebelum ini juga, beberapa pemimpin PH menyatakan kesediaan untuk membubarkan DUN di negeri-negeri diterajui mereka sekiranya BN bertindak membubarkan DUN secara bersendirian bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri.
Ia susulan ucapan Setiausaha Agung DAP yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke di Konvensyen PH di Johor pada 17 Mei lalu yang memaklumkan bahawa Negeri Sembilan akan mengikut langkah Johor sekiranya negeri terbabit membubarkan DUN.
Malah, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan sehingga kini tidak menerima sebarang notis untuk menghadiri sidang DUN pada minggu hadapan.
Ia mengambil kira situasi DUN Negeri Sembilan akan terbubar sendiri sekiranya sidang DUN tidak diadakan sebelum tarikh 10 Jun iaitu pada Rabu ini. – UTUSAN










