KUALA TERENGGANU: Pas mengarahkan semua ahlinya mengundi calon Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sekiranya berlaku pertembungan antara calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Barisan Nasional (BN) di mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen, maka sokongan tetap tidak berubah kepada PN.
Katanya, keputusan itu selaras dengan komitmen Pas untuk terus mendukung PN termasuk persetujuan menggunakan lambang komponen tersebut.
“Kita akan mengundi PN. Kita berpegang kepada asas bersama tiga parti dengan Bersatu dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), jadi apabila ada parti tidak mahu kerjasama, maka terpulang kepada dia.
“Apabila sebut kerjasama, pastilah berlaku pembahagian kerusi antara parti-parti bukan sahaja dalam Muafakat Nasional (MN) tetapi termasuk PN,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan dasar sempena Muktamar Pas Ke-67 di Duyung Marina & Resort, di sini hari ini.
Abdul Hadi berkata, calon Pas yang bakal bertanding dalam PRN Melaka diumumkan PN di pejabat PN, pukul 3 petang ini.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, medan perbincangan antara sekutunya masih terbuka walaupun parti-parti sudah mengemukakan calon masing-masing.
“Selagi penamaan calon belum diisytiharkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), maka medan perbincangan masih terbuka,” katanya. – UTUSAN











