KUALA LUMPUR: Isu projek perumahan terbengkalai akan dapat diselesaikan sebaik sahaja pindaan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 dibentangkan di Dewan Rakyat.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pindaan itu dijangka dibentang pada suku ketiga tahun depan sekali gus ia merupakan usaha bagi memastikan isu projek perumahan terbengkalai dapat dielakkan pada masa hadapan.
“Bayaran peringkat awal merangkumi 40 peratus dan baki bayaran semasa pemakluman selepas pembeli menerima notis daripada pemaju bagi penyerahan pemilikan kosong dengan disokong perakuan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).
“Elemen tuntutan bayaran daripada pembeli oleh pemaju adalah tolak lima peratus, contohnya, jika tuntutan adalah 40 peratus maka pembeli hanya membayar 35 peratus.
“Semua wang pegangan ini akan dilepaskan kepada pemaju selepas projek mendapat CCC. Ini bagi mengelak tuntutan melebihi atau tidak sepadan dengan kerja diperakukan,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Sebelum itu, William Leong Jee Keen (PKR-Selayang) meminta kerajaan menjelaskan adakah kementerian mengamalkan konsep BKJ 10:90 kerana masalah projek perumahan terbengkalai masih tidak diselesaikan.
Reezal Merican berkata, proses pindaan akta itu adalah selaras hala tuju pemajuan perumahan kepada kaedah penjualan berkonsepkan Bina Kemudian Jual (BKJ).
Antara cadangan pindaan tersebut katanya, adalah jadual pembayaran perjanjian jual beli Jadual G dan H akan lebih mirip kepada BKJ.










