KUANTAN: Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia menyasarkan RM3.2 juta hasil jualan produk kraf untuk usahawan terlibat dalam Festival Kraf Pantai Timur (FKPT) tahun ini.
Pengarah Kraftangan Malaysia Pahang, Juhari Azmi berkata, jumlah itu dijangka meningkat berbanding RM 3.1 juta tahun lalu.
Menurutnya, pihaknya komited dapat mencapai sasaran berkenaan memandangkan festival kali ini membabitkan tiga negeri Pantai Timur berbanding hanya negeri ini pada tahun lalu.
“Seramai 98 usahawan produk kraftangan dari tiga negeri iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan terlibat dalam festival tahun ini yang berjalan serentak.
“Selain memberi peluang kepada orang ramai membeli dan mengenali produk kraf tempatan, program ini juga membuka peluang kepada usahawan kraf menjana pendapatan,” katanya dalam sidang akhbar FKPT 2026 di East Coast Mall (ECM) di sini, semalam.
Berhubung FKPT, Juhari berkata, jualan kraf ini turut mengetengahkan produk kraf daripada komuniti kraf Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) iaitu program di bawah Kraftangan Malaysia yang menyasarkan golongan seperti suri rumah, ibu tunggal dan asnaf.
“Melalui program latihan ini, kita bukan sahaja mendedahkan mereka dengan kemahiran membuat kraf seperti batik dan anyaman, malah turut menerapkan kemahiran keusahawanan.
“Ia bagi membolehkan golongan berkenaan mempersiapkan diri dalam membina kerjaya dan meraih pendapatan sendiri melalui hasil jualan kraftangan,” katanya.
Tambahnya, menerusi program PPKK itu, peserta akan mengikuti latihan sebanyak tiga fasa dan setiap fasa selama empat hari.
Sementara itu, seorang peserta, Zairulmurni Mat Daud, 39, dari Kampung Sungai Baging, di sini, berkata, dia menyertai PPKK membuat batik sejak Jun tahun lalu.
“Saya mendapat maklumat daripada kenalan sebelum mendaftarkan diri dan kini menjalani latihan fasa dua di Pusat Kraf Tangan Cherating di sini.
“Saya menyertai program ini bagi mendapatkan kemahiran untuk menambah pendapatan dan bercadang untuk mengusahakan sendiri pada masa akan datang,” katanya.
FKPT 2026 berlangsung di ECM di sini, bermula 24 April sehingga 4 Mei dari 10 pagi hingga 10 malam. Ia menghimpun pelbagai produk kraf tangan unik termasuk batik, tenunan, dan anyaman usahawan tempatan. – UTUSAN









