JASIN: Majlis Amanah Rakyat (Mara) telah mengenal pasti pelajar yang terlibat dalam insiden buli membabitkan perbuatan menggunting dan merosakkan pakaian pelajar lain di sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), baru-baru ini.
Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, siasatan kes berkenaan telah mencapai peringkat akhir dan tindakan tegas akan diambil terhadap pelaku terbabit tanpa kompromi.
Menurutnya, pihaknya memandang serius kejadian tersebut dan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk salah laku disiplin yang boleh menjejaskan keselamatan serta kesejahteraan pelajar.
“Kita telah mengenal pasti pelajar yang terlibat. Siasatan sedang dimuktamadkan dan tindakan akan diambil secepat mungkin mengikut peraturan sedia ada.
“Tiada kompromi dalam isu buli. MRSM tidak mempunyai tempat untuk pembuli,” katanya kepada pemberita pada Majlis Meraikan Kecemerlangan MRSM Tun Ghafar Baba yang mencatat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 tertinggi di sini semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kes tular membabitkan tindakan merosakkan pakaian pelajar yang dipercayai dilakukan oleh rakan sebaya di salah sebuah MRSM.
Asyraf Wajdi berkata, Mara turut mengarahkan pihak pengurusan institusi terbabit mempercepatkan siasatan dalaman serta memastikan kebajikan mangsa sentiasa dilindungi.
Dalam pada itu, beliau berkata, Mara sedang memperkukuh mekanisme disiplin termasuk pelaksanaan warden sepenuh masa dalam kalangan bekas anggota tentera di semua 58 MRSM secara berperingkat.
Katanya, pendekatan itu bukan sahaja bertujuan memperketat kawalan disiplin, tetapi juga membentuk sahsiah pelajar melalui bimbingan berterusan.
“Warden akan bertindak sebagai pembimbing dan juga ibu bapa kedua kepada pelajar bagi memastikan persekitaran pembelajaran lebih selamat dan berdisiplin,” katanya.
Beliau berkata, hasil kajian Universiti Putra Malaysia (UPM) menunjukkan pendekatan tersebut memberi impak positif terhadap disiplin serta prestasi akademik pelajar MRSM. – UTUSAN










