[PARLIMEN] Peningkatan gaji minimum boleh pengaruh kadar pengangguran - Utusan Malaysia

[PARLIMEN] Peningkatan gaji minimum boleh pengaruh kadar pengangguran

M. SARAVANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peningkatan gaji minimum perlu dilaksana secara berperingkat agar tidak memberi kesan yang besar kepada majikan sekali gus boleh menjejaskan operasi syarikat terutama industri mikro, kecil dan sederhana.

Dalam Ucapan Penggulungan Sesi Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2022 Peringkat Dasar Kementerian Sumber Manusia, Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, peningkatan secara menyeluruh boleh menyebabkan golongan pekerja dalam negara hilang punca pendapatan.

Menurut beliau, pihaknya turut mengambil kira kadar pengangguran sebenar sebagai satu kawalan supaya peningkatan gaji tidak mengakibatkan peningkatan kadar tersebut.

“Kementerian mengambil maklum cadangan kadar gaji minimum baharu ditetapkan kepada RM1,500 dan berhubung perkara ini, peningkatan gaji minimum sewajarnya dilaksanakan secara berperingkat agar tidak memberi tekanan dan membebankan majikan.

“Ini boleh menjejaskan operasi syarikat terutama industri mikro, kecil dan sederhana selain boleh mendedahkan pekerja kepada risiko kehilangan pekerjaan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah Saravanan, dalam menetapkan formula gaji minimum, indikator sosioekonomi meliputi kriteria asas seperti Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dan gaji penengah serta kriteria pelarasan seperti pertumbuhan produktiviti buruh, kadar pengangguran dan perubahan indeks harga pengguna (CPI) turut diambil kira bagi memberi gambaran tentang situasi pasaran tenaga kerja semasa.

“Dua indikator ekonomi yang diguna pakai dalam kriteria asas iaitu PGK dan gaji penengah adalah indikator yang menentukan keperluan asas pekerja serta keluarga pekerja dan mengukur keupayaan majikan membayar gaji.

“Bagi kriteria pelarasan, CPI menggambarkan perubahan kepada kos sara hidup manakala pertumbuhan produktiviti buruh digunakan sebagai indikator yang mana gaji wajar ditingkatkan selaras dengan peningkatan produktiviti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN