TUGAS wakil rakyat bukan sekadar menerima aduan rakyat tetapi mencari jalan untuk membawa perubahan yang mampu meningkatkan kesejahteraan komuniti secara menyeluruh.
Itu prinsip Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelapang, Cheah Pou Hian yang memasuki penggal keduanya sebagai wakil rakyat dan beliau percaya pembangunan sesebuah kawasan perlu dilaksanakan secara terancang dan melibatkan kerjasama semua pihak.

DUN Jelapang di bawah Parlimen Batu Gajah, Perak merupakan kawasan bercampur yang didiami masyarakat pelbagai kaum dengan majoriti penduduk Cina, diikuti India dan Melayu.
Kawasan pentadbirannya turut merangkumi Papan, Taman Puspa serta beberapa kawasan perumahan dan komersial yang sedang berkembang pesat.
Pou Hian, dari DAP berkata, aduan rakyat yang diterimanya kebanyakannya melibatkan isu penyelenggaraan asas seperti jalan berlubang, longkang tersumbat, kutipan sampah, lampu jalan serta kemudahan awam.
Beliau mengakui terdapat isu yang sudah berlarutan bertahun-tahun dan memerlukan kerjasama pelbagai agensi untuk diselesaikan.
“Masalah jalan berlubang misalnya antara aduan paling kerap diterima. Ada yang sudah dibaiki tetapi rosak semula selepas beberapa bulan. Ini antara cabaran yang masih perlu diberi perhatian,” katanya.
Menurut beliau, rakyat bukan sahaja mahu masalah harian diselesaikan tetapi mengharapkan pembangunan yang mampu membawa perubahan kepada komuniti mereka.
Katanya, penduduk mahu melihat kawasan mereka lebih maju, lebih hidup dan mampu menjana peluang ekonomi kepada masyarakat setempat.

Cheah Pou Hian
Umur: 56 tahun
Pendidikan:
SJK (C) Bukit Merah
SMK Menglembu.
Diploma Kejuruteraan Elektronik dan kelulusan City and Guilds, London
Penglibatan dalam politik:
Bermula pada
tahun 2008
ADUN
Jelapang:
Sejak tahun
2018
“Ada kawasan yang mempunyai banyak premis perniagaan tetapi kekurangan pelanggan. Rakyat mahu melihat lebih ramai pengunjung luar datang ke kawasan mereka supaya ekonomi tempatan berkembang,” ujarnya.
Bagi memastikan pembangunan dapat dilaksanakan secara lebih tersusun, beliau menggunakan pendekatan Pelan Tindakan Khas Komuniti (PTKK).
Melalui pendekatan tersebut, setiap komuniti dikenal pasti keperluan dan potensinya sebelum pelbagai program pembangunan dirancang bersama agensi kerajaan, ketua kampung, kaunselor dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Pou Hian berkata, beliau turut mengadakan Mesyuarat Penyelaras DUN setiap bulan bagi memastikan semua pihak berkaitan dapat berbincang dan menyelesaikan isu secara bersama.
“Saya tidak mahu wakil rakyat mengambil alih tugas kaunselor atau ketua kampung. Semua ada peranan masing-masing. Yang penting adalah kerjasama.
“Saya percaya sekiranya pendekatan sama digunakan di lebih banyak kawasan, pembangunan komuniti dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.
BANGUNKAN FIRST GARDEN SEBAGAI DESTINASI EKONOMI
ANTARA fokus utama Pou Hian ketika ini ialah usaha membangunkan kawasan First Garden sebagai destinasi komuniti dan ekonomi baharu.
Menurutnya, kawasan itu mempunyai potensi besar untuk menarik kehadiran pengunjung dari luar sekali gus membantu meningkatkan pendapatan peniaga tempatan.
“Bagi menyokong usaha tersebut, beberapa penambahbaikan sedang dirancang termasuk menaik taraf lampu jalan kepada lampu LED serta memperkemaskan aliran trafik di kawasan komersial berkenaan,” katanya.
Selain itu, penjaja haram yang menimbulkan gangguan kepada pengguna jalan raya dicadangkan dipindahkan ke lokasi yang lebih sesuai.
Dalam aspek keselamatan, sebanyak 23 lampu jalan tambahan dipasang di beberapa lokasi termasuk di sepanjang Lebuhraya Ipoh-Lumut.
Menurut beliau, kemudahan asas yang baik akan memberi keyakinan kepada pengunjung dan pelabur untuk datang ke sesuatu kawasan.
Selain First Garden, beliau turut memberi perhatian kepada pembangunan Pekan Papan yang terkenal dengan sejarah dan warisan perlombongan bijih timah.
Beliau melihat kawasan tersebut mempunyai nilai pelancongan yang tinggi dan berpotensi menjadi salah satu destinasi tarikan di negeri Perak.
“Saya mahu melihat lebih ramai pelancong datang ke pekan Papan kerana kawasan ini mempunyai sejarah yang unik dan identitinya tersendiri,” katanya.
Menurut beliau, usaha membangunkan pekan Papan turut mendapat sokongan NGO dan pihak berkuasa tempatan yang sedang merangka pelbagai perancangan untuk kawasan berkenaan.
Dalam masa sama, beberapa isu tempatan termasuk masalah banjir yang pernah membelenggu kawasan itu berjaya diselesaikan hasil kerjasama pelbagai agensi.
Sebagai individu yang mempunyai pengalaman dalam sektor industri dan perniagaan, Pou Hian percaya pembangunan ekonomi perlu bermula daripada pengukuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Justeru, beliau mengamalkan pendekatan turun padang secara langsung bagi mendapatkan maklumat sebenar daripada para peniaga.
Katanya, data yang diperoleh secara terus membolehkan bantuan dan program yang dirancang lebih menepati keperluan golongan usahawan.
TIADA HAD HUBUNGAN DENGAN RAKYAT
BAGI Pou Hian, hubungan dengan rakyat tidak boleh terhad kepada waktu pejabat semata-mata. Justeru, nombor telefon beliau dibuka kepada orang ramai bagi membolehkan penduduk menghubunginya sekiranya memerlukan bantuan.
Selain menerima kunjungan secara terus di pusat khidmat, beliau turut memperkenalkan Kaunter Bergerak yang diadakan secara berkala di Taman Pertama, Taman Rasi Jaya dan Pasar Jelapang.
“Pendekatan ini membolehkan rakyat menyampaikan sendiri aduan serta cadangan tanpa perlu hadir ke pejabat pusat khidmat,” katanya.
Dalam era digital pula, beliau menggunakan media sosial sebagai platform komunikasi dua hala dengan masyarakat dalam DUN Jelapang.
“Setiap Khamis dari pukul 8.30 malam hingga 9.30 malam, saya akan bersiaran secara langsung menerusi Facebook untuk menjawab pelbagai persoalan yang dibangkitkan oleh penduduk, khususnya dalam bahasa Mandarin.
“Saya juga mengadakan program santai bersama masyarakat India serta kerap turun padang menyantuni masyarakat Melayu termasuk mengagihkan kurma dan sumbangan ketika bulan Ramadan,” katanya.-UTUSAN









