KUALA LUMPUR: Penyanyi baharu, Marsya Qistina memaklumkan lagu Siapa Diriku merupakan sebuah naskhah istimewa kerana didedikasikan buat rakan baiknya yang meninggal dunia Februari lalu akibat leukemia.
Sempat mendengarkan demo lagu itu kepada arwah, Marsya bersyukur kerana lagu tersebut akhirnya sempurna dan sedia diperdengarkan.
“Arwah kawan baik saya, kami dikatakan seperti adik beradik, cara berfikir juga sama.
“Saya masih tak boleh terima walaupun sudah beberapa bulan dia pergi.
“Dia ibarat ahli keluarga saya. Saya banyak berkongsi hal peribadi dengan dia.
“Tiada siapa yang boleh menggantikan tempatnya sebab hanya dia yang faham keadaan saya,” katanya pada sidang media baru-baru ini.
Bercakap mengenai penulisan lagu, Marsya memaklumkan perkara itu tidak mudah dan memerlukan keyakinan yang tinggi sebelum mendengarkan kepada umum lagu ciptaannya sendiri.
“Bukan mudah untuk menulis dan dalam masa yang sama menggubah lagu.
“Saya perlu yakin semata-mata untuk bagi orang mendengar lagu ini.
“Apa pun saya bangga dengan lagu ini, ramai orang akan terkait dengan lagu ini.
“Lagu ini mengandungi suatu perasaan yang membuatkan kita terpanggil untuk berkongsi,” katanya lagi.
Sementara itu Marsya tidak menolak untuk menerok muzik lain namun buat sekarang ini lebih fokus kepada muzik balada.
“Matlamat sekarang ini adalah untuk perkenalkan nama dan jenis muzik yang saya bawakan.
“Mungkin di masa akan datang saya teroka jenis muzik lain, tapi sekarang biarlah saya menyanyikan lagu dan muzik balada,” ujarnya. – UTUSAN










