KUALA LUMPUR: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom semalam menjadi individu kelima didakwa di Mahkamah Sesyen di sini berkait Laporan Suruhanjaya Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH).
Jamil Khir, 65, yang juga bekas Ahli Parlimen Jerai mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan membabitkan kerugian berjumlah RM860,308,770.51 dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Mengikut pertuduhan pertama, Jamil Khir sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) didakwa telah menyebabkan Lembaga Tabung Haji melupuskan wang berjumlah RM42,942,074 (SAR44,170,000) kepada Al-Rawda Real Estate Development And Projects Management Co. Ltd.
Al-Rawda merupakan sebuah syarikat firma pengurusan dan pembangunan hartanah berpangkalan di Arab Saudi.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 3 April 2015 di Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Aras 9, Blok D7, Kompleks D, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya.
Pada 14 Disember 2016, di pejabat sama, Jamil Khir didakwa telah menyebabkan TH melupuskan wang berjumlah RM288,172,134.64 (SAR 250,041,622) kepada syarikat yang sama.
Beliau didakwa mengulangi perbuatannya pada 17 Ogos 2017 di di Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Aras 10, Blok A, Kompleks Islam Putrajaya dengan menyebabkan TH melupuskan wang berjumlah RM529,194,561.87 (SAR 471,848,615) kepada syarikat sama.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan atau maksimum lima tahun dan sebat dan juga boleh dikenakan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan dan Nurul Qistini Qamarul Abrar. Manakala Jamil Khir diwakili peguam bela, Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Datuk Hamidi Md Noh.
Pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM1 juta dengan seorang penjamin warga negara Malaysia dan turut memohon agar tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
“Jika kita lihat ketiga-tiga pertuduhan di hadapan mahkamah hari ini melibatkan jumlah terkumpul secara keseluruhannya RM860,308,770.51.
“Saya percaya apa yang kami mohon adalah wajar memandangkan ini juga merupakan kes yang sangat berprofil tinggi dan jaminan RM1 juta tersebut serta pasport ditahan ialah langkah yang lebih daripada mencukupi,” katanya.
Hisyam bagaimanapun memohon agar jumlah tersebut dikurangkan memandangkan tujuan utama jamin adalah untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah dan bukannya bersifat menghukum.
Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM300,000 bagi kesemua pertuduhan dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 5 November ini untuk serahan dokumen. – UTUSAN










