PETALING JAYA: Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) kini berada di fasa akhir dengan tumpuan diberikan kepada pengumpulan bukti kukuh sebelum keputusan pendakwaan dibuat.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, kes berkenaan bukan perkara baharu, sebaliknya membabitkan siri siasatan yang dijalankan sejak 2016 hingga 2018.
Katanya, polis kini melengkapkan siasatan bagi memastikan proses perundangan dilaksanakan secara telus dan berintegriti dengan keputusan berhubung tindakan pendakwaan dijangka dibuat dalam tempoh terdekat
“Saya tidak boleh ulas lanjut kerana kita tidak mahu masyarakat di luar membuat kesimpulan sendiri mengenai siapa yang bakal dituduh.
“Bagi pihak polis, bukti kukuh merupakan asas paling penting. Justeru, berikan ruang sepenuhnya kepada PDRM untuk melengkapkan siasatan ini sebaik mungkin,” katanya dalam audio siar MMTV PodX semalam.
Sebelum ini, bekas Pengerusi TH, bekas Ketua Pegawai Eksekutif, bekas Ketua Pegawai Kewangan serta seorang kakitangan yang masih berkhidmat dengan institusi itu antara lima individu yang ditahan polis bagi membantu siasatan berkaitan kes RCI TH.
Mengulas mengenai peranan pelbagai agensi penguatkuasaan dalam kes berprofil tinggi berkenaan, Rusli menjelaskan bahawa PDRM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai pembahagian tugas serta bidang kuasa yang sangat jelas mengikut peruntukan undang-undang.
Menurut beliau, fokus utama PDRM adalah menjurus kepada siasatan kesalahan jenayah komersial, terutamanya di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan berkaitan penipuan serta Seksyen 409 Kanun Keseksaan berhubung pecah amanah.
“Sebarang elemen yang melibatkan penyalahgunaan kuasa atau penyelewengan rasuah berada sepenuhnya di bawah skop siasatan SPRM mengikut Akta SPRM 2009.
“Siasatan rentas agensi ini turut meneliti pelbagai aspek perundangan lain merangkumi pelanggaran di bawah Akta Syarikat serta peraturan Suruhanjaya Sekuriti (SC).
“Sekiranya PDRM mengesan sebarang kesalahan yang berada di luar bidang kuasa polis sepanjang proses siasatan, kes berkenaan akan diserahkan kepada agensi yang berkaitan untuk tindakan susulan,” ujarnya.
Tambah beliau, proses penyaluran atau rujukan kes antara agensi merupakan perkara biasa di mana ada laporan yang diterima polis diserahkan kepada agensi lain.
“Ada juga laporan di agensi luar yang dipindahkan kepada PDRM, demi memastikan tindakan undang-undang yang sewajarnya dapat diambil,” katanya. – UTUSAN










