KUALA LUMPUR: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom menjadi individu kelima didakwa di Mahkamah Sesyen di sini berkait dengan Laporan Suruhanjaya Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH).
Berdasarkan semakan sistem mahkamah, pendakwaan terhadap Jamil Khir akan dilakukan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Pada 10 September lalu, Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Abdul Halim Aman berkata, bekas menteri itu akan berdepan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan iaitu salah guna harta.
Jamil Khir telah direman selama tujuh hari hingga Selasa lalu.
SPRM telah menahan reman bekas menteri itu ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Sehingga Khamis lalu, seramai empat individu sudah didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan susulan daripada Laporan RCI TH itu.
Mereka ialah bekas Pengerusi Lembaga TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang didakwa atas tuduhan guna kedudukan untuk mendapatkan jawatan pengerusi sebuah syarikat dengan remunerasi RM690,000 setahun, kereta mewah dan pemandu.
Bekas Ahli Parlimen Baling itu juga didakwa meyakinkan Ahli Lembaga TH supaya bersetuju meluluskan cadangan pelaburan sehingga RM193.5 juta dalam Putrajaya Perdana Berhad.
Turut didakwa ialah, bekas Pengurus Keselamatan dan Kesihatan THP Bina Sdn Bhd, Nasahruddin Ahmad serta bekas Timbalan Pengurus Besar TH Properties Sdn Bhd, Tengku Kamarolhisham Tengku Kamaruddin, yang juga bekas Timbalan Pengurus Besar THP Bina Sdn Bhd.
Terbaharu ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Alam Maritim Resources Bhd., Datuk Azmi Ahmad, telah didakwa di mahkamah berhubung kes penipuan kadar sewaan kapal.
Laporan RCI menyenaraikan pelaburan lama TH dalam Alam Maritim/TH Marine sebagai salah satu punca kemerosotan nilai aset TH.
Bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Adi Azuan Abdul Ghani juga sepatutnya didakwa pada 3 September lalu namun ditangguhkan ke 24 September ini selepas lelaki tersebut dimasukkan ke hospital. – UTUSAN










