JOHOR BAHRU: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa bersedia memberi keterangan kepada pihak berkuasa berhubung siasatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) sekiranya dipanggil.
Beliau berkata, setakat ini tidak menerima sebarang notis rasmi atau didatangi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan berhubung pendedahan laporan RCI berkenaan.
Katanya, beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk hadir ke pejabat SPRM sekiranya diperlukan bagi menjelaskan perkara yang diketahuinya.
“Saya terbuka dan sudah lama bersedia untuk membantu. Tiada masalah jika dipanggil untuk memberi keterangan atau hadir ke tempat mereka bagi membantu siasatan,” katanya selepas Program Penerangan RCI Tabung Haji di Hotel Amerin, di sini hari ini.
Turut hadir, bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi dan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan.
Pendedahan laporan RCI berhubung pengurusan dan operasi TH kepada umum pada Julai lalu membawa kepada beberapa siri siasatan dan tindakan undang-undang terhadap individu yang dikenal pasti.
Setakat ini, empat individu telah didakwa di mahkamah, manakala beberapa lagi termasuk bekas pengurusan kanan TH dan seorang bekas menteri ditahan serta direman bagi membantu siasatan.
Mujahid berkata hampir separuh daripada 14 kes yang dibangkitkan sebenarnya telah dikenal pasti dan dilaporkan kepada polis ketika pentadbirannya pada 2018, sewaktu proses pemulihan TH dijalankan.
“Laporan polis telah pun dibuat pada zaman itu, tetapi tiada tindakan susulan sehingga berlaku perubahan kerajaan. Hari ini, usaha berkenaan nampaknya diteruskan melalui laporan RCI yang ada,” katanya.
Dalam pada itu, Mujahid menolak tanggapan bahawa siri jelajah penerangan yang dilakukannya mengganggu proses perundangan yang sedang berlangsung, sebaliknya bertujuan memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai laporan RCI selain memastikan isu salah urus tadbir tidak berulang di TH atau institusi lain.
“Tujuan laporan RCI dibawa kepada pengetahuan umum supaya kita mengambil pengajaran dan pada masa sama menepis kekeliruan yang timbul.
“Bagi kita, RCI ini perkara besar kerana telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya. – UTUSAN










