Salah guna kuasa: Azeez Rahim mohon dibicarakan

Salah guna kuasa: Azeez Rahim mohon dibicarakan

ABDUL Azeez Abdul Rahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan jawatan pengerusi sebuah syarikat dengan gaji RM690,000 pada 12 tahun lalu.

Abdul Azeez, 60, meminta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

“Saya faham (pertuduhan), tuduhan itu tidak benar sama sekali dan saya mohon dibica­rakan,” katanya yang memakai baju ungu lokap polis dengan tangan bergari di dalam kandang tertuduh.

Abdul Azeez juga merupakan individu ketiga didakwa di mahkamah rentetan daripada Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.

Terdahulu, sebelum dibawa untuk menghadapi pertuduhan tersebut, Abdul Azeez yang juga bekas Ahli Parlimen Baling ditahan reman selama dua hari sehingga esok mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan kes penipuan berkaitan pemberian hibah TH.

Turut direman seorang lelaki yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif TH dan seorang wanita yang juga bekas Ketua Pegawai Kewangan TH.

Sebelum ini, Abdul Azeez direman SPRM selama tujuh hari bermula 26 Ogos lalu bagi membantu siasatan susulan isu dibangkitkan dalam Laporan RCI TH.

Laporan RCI TH yang didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu memperincikan kelemahan dalam pengurusan dan operasi dana haji berkenaan bagi tempoh antara 2014 hingga 2020.

Pada prosiding semalam, Abdul Azeez didakwa atas pertuduhan telah menggunakan kedudukannya untuk suapan dengan mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tan Sri Ismee Ismail untuk mencadangkan dirinya menjadi Pengerusi syarikat Putrajaya Perdana Berhad (PPB) yang akan mendapat manfaat remunerasi sebanyak RM690,000.00 setahun serta kemudahan sebuah kereta BMW 7 Series beserta seorang pemandu tetap.

Abdul Azeez juga didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi TH telah bertindak menyakinkan Ahli-Ahli Lembaga Tabung Haji untuk bersetuju meluluskan cadangan untuk melabur sehingga RM193.5 juta (sehingga 30 peratus modal saham terbitan sedia ada) dalam PPB yang mana beliau mempunyai kepentingan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 25 Ogos 2014 pada Mesyuarat Lembaga Pengarah Lembaga Tabung Haji di Bilik Mesyuarat Lembaga, Bangunan Tabung Haji, 201 Jalan Tun Razak dekat sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasu­ah Malaysia (SPRM), Datuk Ahmad Akram Gharib dibantu oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How dan Atirah Mohd. Azuarizanuddin.

Abdul Azeez pula diwakili peguam-peguam bela, Datuk Amer Hamzah Arshad, Datuk Abu Bakar Isa Ramat, Ashok Athimulan dan Joshua Tey. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×