Sindrom patah hati lemahkan jantung

Sindrom patah hati lemahkan jantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kehilangan suami mengubah seluruh kehidupan seorang wanita berusia 39 tahun.

Kini, sebagai ibu tunggal kepada empat anak, segala tanggungjawab keluarga terpaksa dipikul sendirian, ditambah pula dengan masalah kewangan yang semakin menghimpit.

Tekanan demi tekanan yang dilalui akhirnya mula memberi kesan kepada dirinya.

Setahun berlalu, muncul simptom yang menyerupai masalah jantung, namun, pemeriksaan doktor menemukan sesuatu yang tidak disangka.

Tiada saluran darah jantung yang tersumbat, tetapi fungsi otot jantungnya menjadi lemah.

Wanita ini sebenarnya mengalami takotsubo cardiomyopathy atau sindrom patah hati.

Pakar Perunding Kardiologi Intervensi di Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Beh Ting Yuen berkata, tekanan emosi yang kuat boleh menjejaskan fungsi jantung dan menyebabkan keupayaan mengepam darah terganggu.

Keadaan ini berlaku apabila hormon stres seperti adrenalin melonjak secara mendadak.

Antara pencetusnya termasuk kehilangan insan tersayang dan peristiwa besar seperti perceraian, perpisahan, pengalaman traumatik atau penyakit serius.

“Berbanding sakit jantung yang lebih lazim dalam kalangan lelaki, sindrom patah hati pula lebih banyak menimpa wanita.

“Namun, tekanan emosi atau masalah peribadi tidak semestinya menyebabkan seseorang mengalami kelemahan jantung,” katanya dalam sesi perkongsian sempena Hari Jantung Sedunia baru-baru ini.

Dada ketat, cepat mengah

Simptom sindrom patah hati boleh menyerupai serangan jantung, termasuk rasa sakit atau tidak selesa pada dada.

Ting Yuen yang juga pakar perubatan dalaman berkata, pesakit turut mengalami rasa ketat atau berat pada dada, selain mudah penat.

“Jika sebelum ini, seseorang boleh berlari maraton tetapi sekarang berjalan sedikit pun sudah rasa mengah.

“Itu petanda yang anda memerlukan pemeriksaan kesihatan lanjut dengan pakar,” katanya.

Menurutnya, terdapat juga pesakit yang berpeluh dan muntah-muntah sehingga menyangka keadaan itu berpunca daripada masalah gastrik.

Namun, bagi sindrom patah hati, keadaan itu semua berlaku walaupun saluran darah jantung tidak tersumbat.

Oleh itu, pemeriksaan atau saringan tertentu penting bagi membantu mengenal pasti punca sebenar masalah yang dialamwi.

“Saya ingin tegaskan, jangan hanya bergantung kepada kecerdasan buatan (AI) atau kawan-kawan untuk membuat diagnosis.

“Kita perlu merujuk kepada pakar bagi memastikan secara terperinci sama ada keadaan itu berpunca daripada emosi, serangan panik atau masalah jantung,” katanya.

Bergantung kepada keadaan dan keperluan pesakit, doktor mungkin menjalankan beberapa pemeriksaan termasuk angiogram, imbasan CT atau pengimejan resonan magnetik (MRI) bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai keadaan jantung.

Pemeriksaan terperinci itu penting kerana simptom semata-mata tidak mencukupi untuk menentukan punca sebenar sesuatu masalah.

Boleh sembuh

Sindrom patah hati biasanya bersifat sementara dan fungsi jantung boleh kembali pulih dalam tempoh beberapa hari hingga minggu.

Namun, keadaan itu boleh berulang pada sebilangan pesakit dan memerlukan pemantauan doktor.

Justeru, pesakit perlu mendapatkan rawatan serta pemeriksaan susulan bagi memastikan keadaan jantung terus dipantau.

Dalam masa sama, pengurusan tekanan emosi juga penting, termasuk mendapatkan sokongan daripada keluarga, rakan-rakan atau kaunselor apabila berdepan tekanan yang sukar dikawal.

Amalan gaya hidup sihat dan aktiviti fizikal mengikut kemampuan turut membantu menjaga kesihatan jantung secara keseluruhan.

Faktor lain jantung lemah

Menurut Ting Yuen, kelemahan jantung boleh berlaku disebabkan pelbagai faktor dan bukan hanya akibat saluran darah yang tersumbat.

Malah, penyakit jantung kini semakin banyak dikesan dalam kalangan golongan muda, termasuk mereka yang berusia 20-an dan 30-an.

Antara faktor yang menyumbang kepada keadaan itu ialah genetik serta gaya hidup termasuk merokok dan pemakanan tidak sihat.

Dalam masa sama, tekanan darah tinggi berpanjangan dan tidak terkawal juga boleh menyebabkan jantung bekerja lebih kuat sehingga akhirnya menjejaskan fungsinya.

Bagi golongan yang aktif bersukan pula, beliau mengingatkan supaya tidak terus melakukan aktiviti fizikal berintensiti tinggi tanpa persediaan dan latihan yang mencukupi.

“Jangan terus push beyond the limit. Kita perlu tahu batas kemampuan badan sendiri.

“Kalau mahu melakukan aktiviti yang intensif, latihan perlu dibuat secara berperingkat dan bukan secara mengejut,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×