Lebuhraya Karak petang itu melingkar panjang seperti ular besi yang sedang keletihan merentas tubuh Banjaran Titiwangsa. Badannya berliku di celah bukit dan hutan, dipenuhi ribuan kenderaan yang bergerak perlahan seperti sisik-sisik logam yang kehilangan arah. Dari puncak bukit, aliran lampu brek merah kelihatan memanjang tanpa penghujung, seperti darah panas yang mengalir di sepanjang urat bumi.
Ular besi itu sedang sarat menanggung manusia yang mahu pulang.
Pulang ke kampung halaman.
Pulang ke pangkuan ayah bonda dengan membawa cucu-cucu yang mereka rindui. Pulang rindukan bau langsir lama, rumah kayu.
Namun petang itu, ular besi bernama Lebuhraya Karak seolah-olah semakin tenat. Pergerakannya tersekat-sekat. Sesekali bergerak beberapa inci sebelum kembali diam membeku di tengah panas yang menggigit.
Hon bersahut-sahutan di sepanjang jalan.
Pendek. Panjang. Garang. Bunyi-bunyi itu bertindih sesama sendiri seperti jeritan manusia yang sudah terlalu lama terperangkap dalam lelah perjalanan.
Udara petang terasa berat dengan asap enjin dan bau tar jalan yang dibakar matahari. Angin menyelinap melalui celah tingkap kereta juga terasa panas dan kering seperti nafas dari mulut relau besi.
Amirul menggenggam stereng erat. Matanya merah akibat kurang tidur. Urat di belakang tapak tangannya timbul sedikit menahan penat yang semakin bersarang dalam tubuh. Namun wajah lelaki itu tetap tenang walaupun fikirannya mulai lelah dihimpit perjalanan yang terlalu panjang. Jarum suhu kereta sesekali diperhatikannya.
Pendingin hawa diperlahankan sedikit untuk mengurangkan tekanan enjin. Dia tahu, dalam kesesakan seperti itu, bukan sahaja manusia boleh kalah.
Enjin juga boleh rebah di tengah jalan. Di sebelahnya, Sofea mengipas anak bongsu mereka, Iman yang mula meragam akibat terlalu lama terperangkap di dalam kereta.
“Abang… bergerak seinci pun tak.”
Suara Sofea perlahan, tetapi cukup untuk membuat Amirul menghela nafas panjang.
Peluh tumbuh halus di dahi wanita itu. Tudungnya sedikit senget kerana terlalu lama bersandar di kerusi. Namun dia tetap cuba tersenyum menenangkan anak-anak.
Di belakang, Danish memandang keluar tingkap dengan wajah bosan. Telefon bimbit di tangannya sudah lama tidak menarik perhatian kerana talian internet terlalu perlahan akibat terlalu ramai pengguna jalan raya.
Alya pula tertidur sambil memeluk beg kecil berisi baju. Nafas anak perempuan itu turun naik perlahan dalam lena keletihan. Perjalanan dari Kuala Lumpur menuju Kelantan terasa seperti tidak berpenghujung. Dua belas jam untuk sampai ke Gua Musang. Dan mungkin 12 jam lagi untuk tiba di Pasir Pekan.
Namun Amirul tetap memilih jalan itu setiap tahun. Tetap membiarkan dirinya terperangkap dalam ular besi yang panjang dan melelahkan itu.
Yang pasti di hujung perjalanan tersebut ada wajah ibu dan ayahnya yang semakin dimamah usia. Ada ayah yang kini sudah tidak lagi kuat berjalan jauh ke masjid seperti dahulu. Ada ibu yang setiap malam menelefonnya hanya untuk bertanya dengan suara lemah.
“Bila sampai ini, Mirul?”
Dan setiap kali mendengar suara itu, hati Amirul terasa seperti disentap perlahan oleh tangan rindu.
Sebaik sahaja memasuki kawasan berbukit sebelum Gua Musang, perjalanan mereka menjadi semakin perlahan. Lebuhraya Karak yang sejak tadi melingkar seperti ular besi kini kelihatan semakin tenat.
Badannya yang panjang dipenuhi ribuan kenderaan yang bergerak setapak demi setapak di celah bukit batu kapur dan hutan yang mulai gelap dimamah senja.
Jarum suhu kereta Amirul mula naik perlahan. Matanya segera tertumpu pada meter di papan pemuka.
“Abang… suhu naik lagi.”
Suara Sofea kedengaran cemas. Amirul segera memperlahankan pendingin hawa. Peluh mula tumbuh di dahinya.
Dalam kesesakan seperti itu, enjin juga boleh rebah seperti manusia yang terlalu lama memikul beban. Di bahu jalan, beberapa kenderaan sudah tersadai.
Ada lelaki membuka bonet sambil menuang air mineral ke radiator. Ada keluarga duduk mencangkung di tepi penghadang jalan sambil berkongsi roti dan air kotak. Musim cuti sekolah memang begitu. Tiba-tiba sebuah
Proton Wira di hadapan mereka mengeluarkan asap putih tebal.
“Asap! Asap!”
Jeritan seseorang memecahkan suasana petang yang tegang itu. Kereta itu tersengguk beberapa kali sebelum mati enjin di tengah jalan. Asap berkepul keluar dari bonet seperti nafas naga tua yang terluka. Hon mula berbunyi bertalu-talu. Marah.
Namun kenderaan tetap tidak bergerak. Seorang lelaki tua keluar tergesa-gesa sambil memegang dada. Tubuhnya sedikit bongkok dimamah usia. Wajahnya pucat seperti kain kehilangan darah. Amirul segera memberhentikan keretanya di bahu jalan.
“Abang!”
“Tolong orang dulu.”
Dia berlari mendapatkan lelaki tua itu. Bau hangit memenuhi udara. Wap radiator memercik halus ke udara petang yang panas.
“Pakcik okay?”
“Saya… sesak nafas…”
Suaranya tersekat-sekat.
Amirul segera memapahnya ke tepi jalan. Tubuh lelaki tua itu terasa ringan dan rapuh seperti ranting tua yang terlalu lama menanggung musim.
Namanya Pak Saleh.
Usianya Tujuh Puluh Tiga Tahun.
Dia dalam perjalanan mengambil anak bongsunya yang di Universiti Sains Islam Malaysia sebelum pulang bersama keluarga di Terengganu.
“Tadi okay…” katanya perlahan sambil menekan dada.
“Tiba-tiba rasa sempit.”
Amirul memandang wajah tua itu dengan simpati. Dia teringat arwah datuknya yang juga sering sesak nafas ketika cuaca panas.
Tanpa berlengah, Amirul mula mengurut perlahan bahagian tengkuk dan belakang badan Pak Saleh.
“Tarik nafas perlahan pakcik…”
Jari-jarinya bergerak cermat menekan urat tertentu seperti yang pernah diajar oleh arwah datuknya dahulu.
Di tengah hon dan deruan enjin yang bersahut-sahutan seperti ribut besi, tangan Amirul tetap tenang mengurut tubuh lelaki tua itu.
Beberapa orang mula menghampiri. Seorang wanita menghulurkan minyak angin.
Seorang pemuda membawa sebotol air mineral. Dan ketika itu seorang lelaki Cina berusia sekitar 50 tahun turun dari sebuah van putih. Tubuhnya sederhana. Bajunya sudah dibasahi peluh.
“Apa problem kereta?” Tanyanya sambil membuka bonet Proton Wira.
“Enjin panas sangat,” jawab Amirul. Lelaki itu mengangguk perlahan.
“Saya mekanik. Kasi saya tengok.”
Namanya Ah Chong.
Tangannya pantas memeriksa radiator dan kipas enjin seperti seorang doktor memeriksa pesakit yang sedang nazak.
Tidak lama kemudian, seorang lelaki India bertubuh sasa datang membantu mengawal lalu lintas.
“Kereta kasi tepi sikit! Kasi jalan clear sikit!” jeritnya sambil melambai tangan kepada pemandu lain.
Namanya Ravi. Dia membantu menolak Proton Wira ke bahu jalan bersama beberapa pemuda lain. Peluh membasahi dahinya tetapi wajahnya tetap tenang.
Dalam kesesakan yang penuh tekanan itu, bangsa dan bahasa tiba-tiba hilang makna. Yang tinggal hanyalah manusia membantu manusia.
Ah Chong membuka penutup radiator perlahan-lahan selepas enjin sejuk sedikit.
“Fan rosak sikit. Tapi boleh jalan kalau tambah air dulu.”
Pak Saleh memandang mereka semua dengan mata berkaca.
“Saya tak kenal kamu semua… tapi kamu tolong saya macam keluarga.”
Ravi ketawa kecil sambil mengesat peluh.
“Malaysia ma… susah senang sama-sama.”
Kata-kata itu sederhana.
Namun menikam dada Amirul perlahan. Dalam dunia yang semakin sibuk bercakap tentang perbezaan, rupanya manusia masih boleh menjadi saudara ketika diuji kesusahan.
Matahari tenggelam perlahan di balik bukit batu kapur. Langit berubah jingga tua sebelum bertukar ungu gelap. Lampu-lampu kenderaan mula menyala satu demi satu seperti bintang kecil yang jatuh ke bumi. Amirul memandang wajah Pak Saleh yang masih keletihan.
“Pakcik singgah dulu dekat Surau Kg Mentara Lama.”
Pak Saleh mengangguk perlahan. Mungkin dalam keadaan begitu, manusia tidak lagi memikirkan soal cepat sampai. Yang lebih penting adalah mencari sedikit teduh untuk tubuh dan hati yang terlalu penat.
Malam turun perlahan ketika mereka tiba di Surau Kg Mentara Lama. Surau kecil itu berdiri sederhana di tepi jalan utama, namun bagi para musafir, tempat itu seperti pelabuhan kecil yang menyelamatkan manusia-manusia keletihan daripada karam dalam perjalanan panjang.
Di kiri kanan kawasan surau, beberapa batang pokok kelapa sawit berdiri tegak dalam gelap malam. Daunnya bergeseran lembut dipukul angin bukit yang dingin.
Di belakang surau, paip air boring mengalir tanpa henti dari telaga dalam tanah. Airnya jernih dan sangat sejuk hingga terasa menggigit kulit. Iman menjerit kecil ketika Sofea menyimbah air ke mukanya.
“Sejuknya!”
Bau gulai ayam kampung memenuhi udara malam.
Ada rambutan.
Ada dokong.
Ada kuih akok dan karipap.
Ada kopi panas dan air sirap.
Namun malam itu, Amirul terasa sesuatu yang hilang. Pok Mat sudah tiada.
Lelaki tua yang selama ini menjadi jiwa kepada surau itu telah pergi menemui Pencipta pada hari ketiga di Tanah Suci.
Tetapi amalnya masih hidup. Penduduk kampung masih meneruskan kerja kebajikan yang pernah dimulakannya dahulu.
Pak Saleh makan perlahan sambil mengelap mata.
“Sedap…”
Ah Chong dan Ravi turut duduk bersama menikmati kopi panas. Mereka ketawa kecil sambil berbual seperti sahabat lama walaupun baru beberapa jam bertemu.
Amirul memandang mereka lama.
Dia tiba-tiba sedar bahawa perjalanan pulang sebenarnya bukan sekadar tentang sampai ke destinasi. Tetapi tentang menemukan semula kemanusiaan yang sering hilang dalam kesibukan hidup.
Kadang-kadang Tuhan sengaja memperlahankan perjalanan manusia supaya mereka sempat melihat kasih sayang yang masih tinggal di dunia.
Sekitar jam dua pagi, hujan renyai mula turun.
Bumbung zink surau berbunyi halus dipukul air hujan. Bau tanah basah memenuhi udara malam.
Anak-anak Amirul sudah lena di atas tikar nipis.
Pak Saleh pula duduk bersandar pada tiang sambil memegang secawan kopi panas.
“Saya teringat arwah isteri,” katanya perlahan.
Amirul memandangnya.
“Dulu tiap kali musim cuti macam ini dia paling semangat nak balik kampung.”
Matanya berkaca.
“Sekarang tinggal saya seorang.” Suasana menjadi sunyi seketika.
Dari jauh kedengaran lagi bunyi kereta api malam melintas landasan. Bunyi itu panjang dan sayu seperti lagu tentang kehilangan.
Amirul tiba-tiba teringat ayahnya di Pasir Pekan yang semakin uzur.
Mungkin suatu hari nanti dia juga akan menjadi seperti Pak Saleh. Tua. Sunyi.
Menjelang Subuh, kabut nipis turun di celah bukit Gua Musang.
Musafir-musafir mula bangun mengambil wuduk dengan air telaga boring yang sejuk seperti air gunung.
Selepas solat berjemaah, Amirul berdiri lama di halaman surau.
Langit mula cerah perlahan-lahan.
Cahaya pagi menyentuh daun kelapa sawit yang masih basah oleh embun.
Dia memandang khemah kecil di hujung surau.
Walaupun Pok Mat sudah pergi menemui Pencipta di Tanah Suci, lelaki tua itu seolah-olah masih hidup di situ. Masih berjalan perlahan membawa termos kopi. Masih tersenyum menyambut para musafir. Masih melaung dengan suara garau:
“Makan dulu!”
Amirul memejam mata perlahan. Kadang-kadang manusia yang benar-benar ikhlas tidak pernah mati.
Mereka hidup dalam doa orang lapar yang pernah dikenyangkan.
Hidup dalam ingatan musafir yang pernah ditenangkan. Dan hidup dalam setiap titis kebaikan yang terus mengalir walaupun jasad mereka telah lama pergi.
Perjalanan menuju Pasir Pekan masih panjang.
Masih sesak. Masih melelahkan. Namun pagi itu hati Amirul terasa jauh lebih lapang. Kerana di tengah jalan raya yang penuh tekanan dan manusia yang semakin sibuk mengejar hidup, masih ada insan-insan baik yang mengajar bahawa dunia ini belum kehilangan kasih sayang.-UTUSAN









