KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen DAP dan Pas mempersoalkan Bajet 2022 yang meminggirkan peruntukan untuk harimau, tetapi masih mempunyai peruntukan yang besar buat panda.
Cha Kee Chin (Rasah-DAP) berkata, ini kerana kira-kira RM4.5 juta diperuntukkan setiap tahun untuk konservasi panda, tetapi sifar untuk Pusat Konservasi Harimau Kebangsaan (NTCC).
Bagaimanapun katanya, pihaknya tidak menolak peruntukan untuk panda itu berikutan perjanjian dengan China dan mempunyai tarikan pelancong.
Beliau juga memohon campur tangan menteri dan mengingatkan agar ‘jangan kera di hutan disusukan, anak sendiri di rumah kebuluran.
“Betul kita ada perjanjian antarabangsa dengan China berkenaan panda yang ditempatkan di zoo negara dan saya sendiri menyambut baik kerana ia tarikan pelancongan. Saya sendiri pernah pergi dua kali zoo negara, ia boleh bantu zoo negara jana keuntungan.
“(Namun), Pusat Pemuliharaan Harimau Kebangsaan, tahun lepas (peruntukan) RM1.7 juta, tahun sebelum itu RM1 juta, tahun ini kosong. Saya mahu tanya, kenapa?
“Saya setuju kita lindungi panda, tetapi jangan ini harimau made in Malaysia kita pinggirkan,” katanya dalam Sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Shaharizukirnain Abdul Kadir (Setiu-Pas) berkata, kajian yang dibuat oleh National Tiger Survey mendapati bilangan Harimau Malaya yang direkodkan kurang daripada 200.
Oleh itu katanya, data itu menunjukkan bilangan populasi yang amat membimbangkan dan boleh membawa kepada kepupusan dalam tempoh lima tahun.
“Soalan saya, kenapa tiada bajet peruntukan bagi peruntukan ini bagi tahun 2022?” soalnya.
“Jika pusat telah pun siap dibina 100 peratus, namun tidak mustahil peruntukan tambahan diperlukan setelah dibenarkan pengoperasiannya.” ujarnya.
Abdul Latiff Abdul Rahman (Kuala Krai-PAS) pula mempersoalkan bagaimana perkara itu boleh berlaku sedangkan populasi Harimau Malaya bertambah.
“Kenapa perkara ini berlaku? Adakah harimau sedang bertambah sebab itu tiada peruntukan?” katanya.
Dalam pada itu, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam ucapan penggulungannya berkata, ketiadaan peruntukan buat NTCC adalah disebabkan pusat itu merupakan satu projek yang sudah siap sepenuhnya.
“Untuk makluman, NTCC satu projek yang telah siap sepenuhnya. NTCC ini satu tempat digunakan dan dibina dengan pagarnya untuk tujuan lepaskan harimau-harimau ini.
“(Ia) dipanggil rewilding, dari buat tempat rehab di Sungkai dan beberapa tempat akan dilepaskan di NTCC, sebab itu tahun ini tiada peruntukan.” jelasnya. – UTUSAN ONLINE