PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melaksanakan percubaan (trial run) Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) bermula 22 September ini hingga 28 Februari 2026 melibatkan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor sebagai lokasi pertama.
KDN menerusi kenyataan memaklumkan, percubaan itu akan diperluas secara berperingkat ke lima Lapangan Terbang Antarabangsa (LTA) utama iaitu KLIA Terminal 1 dan Terminal 2, Bayan Lepas, Pulau Pinang, Kuching, Sarawak serta Kota Kinabalu, Sabah dalam tempoh berkenaan.
Katanya, sepanjang tempoh percubaan NIISe, sistem Kod QR dan aplikasi MyBorderPass yang sedia ada masih diteruskan untuk proses kemasukan dan pelepasan imigresen.
“Orang ramai termasuk pelawat-pelawat asing digalakkan untuk memuat turun aplikasi MyNIISe bagi tujuan proses kemasukan dan pelepasan imigresen di laluan pintu masuk yang telah diaktifkan di sepanjang tempoh percubaan.
“Aplikasi MyNIISe boleh dimuat turun melalui Apple App Store, Google Play Store dan Huawei App Gallery.
“Bagaimanapun, dokumen perjalanan atau pasport yang sah tetap diperlukan mengikut ketetapan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Sistem NIISe merupakan salah satu inisiatif utama di bawah agenda reformasi Kerajaan Madani dan pelaksanaannya dipercepatkan kepada September 2025 berbanding jadual asal Mac 2026.
Pada akhir tempoh percubaan, NIISe akan menggantikan sistem kod QR sedia ada sebagai usaha meningkatkan serta menaik taraf kecekapan sistem semakan keselamatan automatik di pintu masuk negara.
“KDN kekal komited memperkukuh kawalan sempadan negara demi keselamatan, kelancaran perjalanan dan kemudahan rakyat, selaras aspirasi Kerajaan Madani,” katanya. – UTUSAN










