KLANG: Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut akibat bertembung dengan kereta Perodua Myvi yang membuat pusingan ‘U’ di kawasan larangan dekat Jalan Batu Belah, Bandar Bukit Raja, di sini, tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.40 malam itu, kemalangan berlaku di arah Jalan Kapar dari arah Plaza Tol Bukit Raja Lebuhraya Pintasan Klang Utara (Shapadu).
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kejadian berlaku apabila motosikal jenis Ducati yang ditunggangi oleh seorang lelaki berusia 42 tahun itu sedang memotong.
“Penunggang itu memotong di garisan berkembar, namun gagal mengelak sebuah kereta yang berada di hadapannya sedang membuat pusingan U di kawasan yang tidak dibenarkan. Akibat kemalangan, penunggang meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Jelasnya, bagaimanapun pemandu kereta terbabit iaitu seorang lelaki berusia 27 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan sudah pun tampil membuat laporan polis.
“Kertas siasatan dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Hasil saringan ujian air kencing terhadap pemandu juga tidak menunjukkan pengambilan dadah,” ujarnya.
Justeru, Vijaya Rao meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya menghubungi balai polis berdekatan atau Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Kishen Raj di talian 011-26249291.
“Orang awam turut dinasihatkan supaya sentiasa memandu dengan berhemah dan mematuhi peraturan jalan raya demi keselamatan bersama,” tambahnya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan perjalanan seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi berakhir tragedi apabila disahkan meninggal dunia selepas motosikal jenis Ducati yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta Perodua Myvi. – UTUSAN










