[PARLIMEN] Kes gangguan seksual masih kurang dilaporkan - Siti Zailah - Utusan Malaysia

[PARLIMEN] Kes gangguan seksual masih kurang dilaporkan – Siti Zailah

SITI ZAILAH MOHD. YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff mengakui kes gangguan seksual masih kurang dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Beliau berkata, mengikut laporan rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM), hanya 775 kes yang dilaporkan setakat ini.

“Saya dapat makluman kurang laporan diberikan kepada kita. Saya ada statistik kes yang dikendalikan di bawah Kanun Keseksaan sehingga 2021 melibatkan Seksyen 354 iaitu 474 kes, Seksyen 377D sebanyak 35 kes, Seksyen 509 ada 266 kes, jadi semuanya 775 kes, ini laporan daripada PDRM.

“Sekiranya ada isu berkaitan gangguan di tempat kerja dan sebagainya, jangan dipendam, perkara ini mesti dilaporkan, kalau tidak dilaporkan, sudah tentu pihak berwajib tidak dapat ambil tindakan,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Noorita Sual (PH-Tenom) berhubung bilangan kes gangguan seksual yang dilaporkan pihak berkuasa dan bilangan kes yang telah diambil tindakan undang-undang.

Dalam pada itu, Siti Zailah menyasarkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Gangguan Seksual akan dibentang bagi bacaan kali pertama semasa Mesyuarat Kedua Dewan Rakyat kali ini, selewat-lewatnya 16 Disember 2021, tertakluk kepada kelulusan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) dan juga persetujuan daripada Mesyuarat Jemaah Menteri.

“Sekarang ini, draf RUU berada di AGC, apabila dipersetujui nanti akan dibawa ke majlis Mesyuarat Jemaah Menteri. Sekiranya dilulus, akan dikemukakan kepada lapan kementerian untuk beri ulasan. Sekiranya lulus akan terus didaftar dan dibawa dalam bentuk RUU di Parlimen.

“Antara kekangan yang dihadapi dalam usaha memperkenalkan RUU ini adalah tidak semua bidang kuasa di bawah kementerian kita.

“Yang menjadi masalah juga adalah masa, jadi kita berharap, berdoa supaya dipermudahkan dan mendapat kerjasama semua pihak, kita mengharapkan dalam masa terdekat, kalau boleh minggu ini diselesaikan di peringkat AGC,” katanya.

Beliau menjawab soalan asal Noorita berhubung komitmen pihak kerajaan dalam memperkenalkan Akta Gangguan Seksual dan garis masa pembentangan akta tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN