'Tahap pematuhan keperluan menyelenggara tangki septik masih rendah'

‘Tahap pematuhan keperluan menyelenggara tangki septik masih rendah’

MOHD. Jalaludin Sulaiman (berdiri, dua dari kanan) ketika turut-serta dalam Ops Mutiara di sekitar Jalan Kelawei, George Town, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Hanya 12 peratus daripada keseluruhan 1.38 juta pemilik tangki septik individu di Semenanjung mematuhi keperluan untuk menyelenggara kemudahan itu setakat 2024 sekali gus menyaksikan tahap pematuhan tersebut masih rendah buat masa ini.

Pengarah Eksekutif Operasi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Ir. Mohd. Jalaludin Sulaiman berkata, di Pulau Pinang pula, kadar pematuhan itu bagaimanapun sedikit tinggi iaitu kira-kira 18 peratus daripada keseluruhan 15,049 pemilik tangki septik yang berdaftar.

“Kebanyakan alasan yang kami terima ialah mereka (pemilik tangki septik) tidak tahu keperluan untuk menyelenggara kemudahan itu dan mereka juga tidak ada kesedaran untuk berbuat demikian.

“Justeru, kita terpaksa turun padang untuk memberi peringatan kepada mereka bahawa kegagalan untuk menyelenggara tangki septik secara berjadual boleh menyebabkan berlakunya limpahan sisa buangan atau najis yang akhirnya membawa kepada pencemaran serta risiko lain terutamanya terhadap kesihatan manusia,” katanya.

Beliau ditemui pemberita semasa turut-serta dalam operasi penguatkuasaan yang dikenali sebagai Ops Mutiara di sekitar Jalan Kelawai di sini. Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK), Ir. Mohd. Taufik Salleh.

Lebih 200 premis komersial, industri dan domestik yang gagal mematuhi notis pemberitahuan pengosongan tangki septik yang dikeluarkan oleh IWK sebelum ini diperiksa secara berperingkat dalam operasi penguatkuasaan itu yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Jalaludin berkata, setakat hari pertama operasi, sebanyak 56 notis berkaitan telah dikeluarkan dan pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya notis selama 14 hari untuk menyelenggara tangki septik itu diabaikan.

Mohd. Jalaludin berkata, di bawah Seksyen 65(1)(c) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), pemilik tangki septik diwajibkan untuk menyelenggara sistem dengan melantik penyedia perkhidmatan berlesen atau pemegang permit untuk kerja pengosongan pada selang masa ditetapkan dan kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan mereka didenda sehingga RM50,000.

Sementara itu katanya, di bawah Seksyen 66(1)(a) akta yang sama pula, pemilik sistem pembetungan persendirian yang tidak diselenggara sehingga menyebabkan gangguan atau risiko kesihatan boleh didenda sehingga RM50,000 atau berdepan hukuman penjara sehingga enam bulan.

“Secara puratanya, kos pengosongan tangki adalah sekitar RM250 hingga RM500 bagi premis komersial iaitu bergantung kepada penggunaan manakala RM192 pula adalah kos untuk tangki domestik yang biasanya dibuat bagi tempoh dua tahun sekali,” katanya.

Tambah beliau, tangki septik individu merupakan tangki mendapan yang mempunyai ruang simpanan yang terhad dan ia telah direka bentuk untuk menerima air kumbahan dari tandas, bilik mandi, dapur dan mesin basuh.

“Air kumbahan ini pula akan mengalir keluar ke parit dan pepejal mendap ke dasar tangki septik. Jadi, jika pepejal yang terkumpul tidak dikeluarkan secara berjadual, maka, air kumbahan dari premis akan mengalir keluar dan mencemari parit atau longkang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN