SPRM komited didik generasi muda bahaya rasuah menerusi WAR

SPRM komited didik generasi muda bahaya rasuah menerusi WAR

S. KARUNANITHY (duduk, tengah) ketika hadir merasmikan Program Wira Anti Rasuah (WAR) bersama SPRM Pulau Pinang di SK St. Mark, Perai, Butterworth, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) komited untuk terus mendidik generasi muda mengenai bahaya rasuah menerusi program seperti Wira Anti Rasuah (WAR).

Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Datuk S. Karunanithy berkata, antara objektif program itu ialah untuk membentuk generasi tersebut menjadi agen pencegahan awal iaitu bermula di bangku sekolah.

“Program ini sebenarnya telah dilaksanakan secara tahunan di hampir setiap negeri sejak 2014 dengan pembabitan sekolah-sekolah yang terpilih secara berperingkat.

“Macam di Pulau Pinang, kita pilih lima buah sekolah (setiap tahun) dan sekolah-sekolah ini akan menandatangani MoU (memorandum persefahaman) dengan SPRM untuk menyokong segala usaha pencegahan rasuah yang dijalankan.

“Selain itu, sekolah-sekolah juga digalakkan untuk melaksanakan sebarang program yang menyelitkan isu antirasuah dan SPRM akan membantu dari segi pelaksanaan program tersebut,” katanya selepas merasmikan pelaksanaan program tersebut di Sekolah Kebangsaan (SK) St. Mark, Perai di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Karunanithy memberitahu, ketika memegang jawatan sebagai Pengarah SPRM Pulau Pinang, beliau pernah mencadangkan agar pelaksanaan inisiatif Kedai Jujur dibuat di sekolah-sekolah di negeri ini sebagai pendekatan praktikal dalam membentuk nilai integriti dalam kalangan pelajar.

“Kedai Jujur ini kita (SPRM) sudah pernah wujudkan di berapa lokasi di Sabah dan kini sudah ada lebih kurang 20 sekolah yang terlibat dengan program ini di sana.

“Konsep kedai ini adalah seperti kiosk yang tiada penjaga. Pelajar-pelajar akan mengambil barang dan meletakkan duit di kedai itu walaupun tanpa ada sesiapa yang melihat.

“Jadi, saya harap agar pelaksanaan inisiatif itu dapat direalisasikan di sini (Pulau Pinang) dan seterusnya membentuk integriti dalam diri para pelajar secara tidak langsung,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN