GEORGE TOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang berharap agar usaha pembenihan awan dapat dilaksanakan di kawasan hulu di Kedah sebagai langkah segera untuk meningkatkan paras air Sungai Muda yang kini berada pada tahap yang membimbangkan.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, langkah itu penting bagi memastikan sumber air mentah terus mencukupi, khususnya melibatkan Sungai Muda yang menjadi nadi bekalan air negeri ini.
Menurut beliau, paras air Sungai Muda ketika ini telah menyusut ke tahap berbahaya dan memerlukan tindakan luar jangka bagi mengelakkan berlakunya krisis bekalan.
“Justeru, usaha pembenihan awan ini diharap dapat dilaksanakan di kawasan hulu di Kedah bagi meningkatkan paras empangan dan Sungai Muda,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kampus Automasi, Ujian dan Peralatan (ATE) Pulau Pinang di sini hari ini.
Paras air di Sungai Muda dilaporkan susut ke tahap membimbangkan apabila mencecah paras bahaya iaitu 1.27 meter di muka sauk Lahar Tiang semalam. Situasi itu dikesan kira-kira pukul 4.30 petang semalam, jauh lebih rendah berbanding paras selamat 2.0 meter
Kon Yeow berkata, peningkatan paras empangan di bahagian hulu Kedah akan membantu menambah aliran air ke Sungai Muda sekali gus menstabilkan bekalan air mentah ke loji rawatan di Pulau Pinang.
Beliau berkata, dalam hal ini, pihak Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah berhubung dengan pihak berkuasa di Kedah bagi menyelaras langkah segera.
Selain pembenihan awan, Kon Yeow berkata, pelepasan air dari Empangan Beris turut dicadangkan sebagai langkah jangka pendek bagi mengatasi penyusutan paras sungai.
Pada masa yang sama katanya, Pulau Pinang akan meneruskan pengeluaran air dari Empangan Mengkuang untuk menampung keperluan semasa sekali gus memastikan bekalan air tidak terjejas.
Terdahulu, ketika merasmikan Kampus ATE, Kon Yeow berkata, penubuhan kampus berkenaan membantu mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai hab utama automasi, ujian dan peralatan atau ATE dalam industri semikonduktor Malaysia dengan pelancaran Kampus ATE baharu yang diterajui pemain industri.
Katanya, ketika ini, lebih 20 syarikat ATE tempatan serta lebih 80 firma automasi, kejuruteraan ketepatan dan komponen telah berjaya ditempatkan di negeri ini
“Banyak daripada syarikat-syarikat ini juga telah berkembang menjadi pemain teknologi kukuh, dengan 19 syarikat berasaskan Pulau Pinang kini disenaraikan di Bursa Malaysia, dengan jumlah permodalan pasaran sekitar RM27 bilion setakat April 2026,” katanya. – UTUSAN










