BUTTERWORTH : Sebanyak 30 peratus pertubuhan perniagaan yang melibatkan pertubuhan mikro dan informal di Pulau Pinang telah selesai dibanci di bawah pelaksanaan operasi Banci Ekonomi (BE) 2026 Fasa 1 bagi tempoh antara Januari hingga Februari tahun ini.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, bancian bagi Fasa 2 yang melibatkan pertubuhan kecil dan sederhana pula telah berjalan sejak Mac lalu dan dijangka selesai menjelang Ogos manakala Fasa 3 yang membabitkan pertubuhan besar akan berlangsung bagi tempoh antara Jun hingga Oktober ini.
“Secara keseluruhannya, terdapat hampir 100,000 pertubuhan perniagaan merangkumi lima sektor utama ekonomi iaitu perkhidmatan, pembuatan, pembinaan, pertanian, perlombongan serta pengkuarian terlibat dalam BE 2026 bagi negeri Pulau Pinang.
“Pelaksanaan BE 2026 ini amat penting dalam menyediakan data ekonomi negara yang komprehensif dan terkini terutamanya ketika menelusuri perubahan struktur ekonomi seperti yang dirangkumkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi memperkukuh ekosistem ekonomi jingga dan pemerkasaan ekonomi biru,” katanya.
Terdahulu, beliau menghadiri Sesi Libat Urus BE 2026 anjuran Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bersama persatuan perniagaan serta badan profesional peringkat Pulau Pinang yang disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat negeri, Goh Choon Aik di Pusat Konvensyen PICCA @ Butterworth Arena di sini, hari ini.
Mohd. Uzir berkata, menerusi sesi libat urus tersebut, DOSM Pulau Pinang berpeluang untuk mendapatkan sokongan dan kerjasama strategik daripada pelbagai pihak selain boleh menjadikan sesi berkenaan sebagai platform untuk mengumpul maklumat syarikat serta data sokongan dan sebagainya.
“Pelaksanaan BE 2026 ini selaras dengan ‘blueprint’ Penang 2030 dan dasar pembangunan kerajaan negeri meliputi Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030, Pelan Induk Perindustrian Negeri Pulau Pinang 2030 dan Penang Digital Economy Master Plan 2025–2030 kerana data yang diperoleh akan menjadi input penting dalam perancangan pembangunan ekonomi negeri,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Uzir berkata, sebagai negeri pengeksport utama negara, Pulau Pinang turut terkesan dengan krisis geopolitik atau ekonomi di Asia Barat terutamanya melibatkan rantaian bekalan dunia, harga minyak mentah, kos logistik, kadar inflasi serta sentimen pelaburan antarabangsa.
Oleh itu, beliau berkata, BE 2026 amat penting sebagai instrumen strategik kerajaan untuk menilai tahap kesiapsiagaan ekonomi negeri dalam menghadapi ketidaktentuan global ketika ini.
“Melalui banci ini, data menyeluruh dapat diperoleh mengenai prestasi pertubuhan, guna tenaga, hasil jualan, perbelanjaan operasi, penggunaan teknologi, tahap automasi serta cabaran semasa yang dihadapi oleh pertubuhan perniagaan,” katanya.
Sehubungan itu juga, beliau menggesa seluruh pertubuhan perniagaan di negeri ini untuk terus memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang pelaksanaan BE 2026 bagi memastikan data yang diperoleh adalah lengkap, tepat dan berkualiti tinggi.-UTUSAN










