NIBONG TEBAL : Seorang lelaki etnik Rohingya hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jawi di sini atas dua pertuduhan iaitu membunuh serta mencederakan sepasang suami isteri yang senegara dengannya, bulan lepas.
Ketika pertuduhan pertama iaitu membunuh dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurul Ainna Ahmad, tertuduh, Osman Bawdi Alom, 38, hanya mengangguk tanda faham.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada lelaki itu kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan itu, tertuduh didakwa membunuh rakan senegaranya iaitu Abdul Rahman Shah Mia, 31, di sebuah rumah di Taman Belibis, dalam daerah Seberang Perai Selatan di sini antara pukul 2.50 pagi hingga 2.54 pagi, pada 31 Mei lalu.
Atas kesalahan tersebut, dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau dipenjara antara tempoh 30 hingga 40 tahun selain dikenakan tidak kurang daripada 12 kali.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh bagaimanapun tidak mengaku bersalah atas dakwaan mencederakan pasangan kepada Abdul Rahman iaitu Formin Lal Mia, 26, dengan menggunakan sebilah pisau pada waktu dan lokasi yang sama seperti pertuduhan sebelumnya.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Airina Syazreen Zainurin manakala tertuduh pula diwakili peguam G. Sathiash.
Mahkamah kemudian memutuskan bahawa tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh bagi pertuduhan kedua selain menetapkan 7 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat, laporan forensik serta laporan kimia siap.
Sementara itu, pertuduhan terhadap dua wanita warga Rohingya di bawah Akta Imigresen 1959/63 susulan penangkapan suspek tidak dapat dijalankan di mahkamah tersebut kerana kedua-duanya tidak memahami Bahasa Melayu.
Majistret Nurul Ainna kemudian menangguhkan prosiding kes berkenaan pada 23 Jun ini bagi membolehkan lantikan jurubahasa Myanmar dibuat.
Memetik laporan media pada 31 Mei lalu, mangsa dipercayai telah diserang dan ditikam di beberapa bahagian badan oleh suspek manakala isterinya pula terpaksa dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) kerana mengalami kecederaan akibat serangan yang sama.
Siasatan awal polis mendapati, perselisihan akibat masalah rumah tangga dikenal pasti sebagai antara motif pembunuhan tersebut.-UTUSAN










