Polis tumpaskan sindiket MDMA, rampas dadah bernilai RM1.2 juta

Polis tumpaskan sindiket MDMA, rampas dadah bernilai RM1.2 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis MDMA bernilai kira-kira RM1.2 juta dalam beberapa serbuan yang dilakukan di sekitar daerah Seberang Perai Tengah di sini, semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, dalam serbuan yang dilakukan antara pukul 2 petang kelmarin hingga 10 pagi semalam itu, polis turut menahan tiga suspek warga tempatan yang berusia antara 24 hingga 33 tahun.

Katanya, dua daripada suspek iaitu seorang lelaki dan wanita yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di kawasan Bukit Mertajam.

”Hasil pemeriksaan di kediaman tersebut kemudian menjumpai sebanyak 302 paket plastik pelbagai warna berisi serbuk disyaki dadah jenis MDMA dengan berat keseluruhan 8.08 kilogram (kg),” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, susulan tangkapan itu, polis kemudian menahan seorang lagi lelaki tempatan yang dipercayai rakan sejenayah mereka dan berperanan sebagai ‘runner’ bagi sindiket berkenaan di kawasan yang sama.

”Siasatan awal mendapati, kumpulan terbabit dipercayai aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak April lalu dan menjadikan kawasan sekitar Seberang Perai Tengah sebagai lokasi operasi mereka,” katanya.

Sementara itu, Azizee berkata, jumlah dadah yang dirampas dianggarkan mampu dibekalkan kepada kira-kira 26,956 penagih, sekali gus menunjukkan bahawa sindiket tersebut beroperasi dalam skala yang agak besar.

Katanya, kesemua suspek juga positif dadah jenis ketamin hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan manakala semakan rekod lampau pula mendapati, suspek pertama dan ketiga mempunyai rekod kesalahan berkaitan dadah serta jenayah.

“Selain merampas dadah, polis turut menyita pelbagai aset termasuk kereta, barangan kemas, beg tangan berjenama serta wang tunai berjumlah RM215,783.20 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan mencecah RM1.43 juta,” katanya.

Tambah beliau, ketiga-tiga suspek kini direman selama tujuh hari iaitu sehingga 16 Jun bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN