GEORGE TOWN : Data terkini mengenai kadar kehilangan pekerjaan di negara ini dijangka diumumkan esok selepas kerajaan melengkapkan semakan bagi bulan Mei.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, ketika ini, kerajaan masih menunggu data lengkap untuk bulan berkenaan bagi memastikan gambaran sebenar mengenai situasi pekerjaan dan pemberhentian pekerja dapat diberikan kepada orang ramai.
“Saya belum umumkan lagi data terkini dan esok boleh sedia dah. Saya akan kongsikan maklumat yang terkini sebab biasanya kita tunggu lengkap bulan berkenaan untuk memberi gambaran yang lebih sebenar,” katanya selepas merasmikan Pusat Teknologi dan Inovasi NCER (NTIC) di Bayan Lepas, di sini hari ini.
April lalu, seramai 7,057 pekerja dilaporkan hilang pekerjaan iaitu meningkat kira-kira 21 peratus berbanding 5,855 kes pada bulan sebelumnya. Perkara itu dibentangkan menerusi taklimat mengenai krisis bekalan global selepas mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).
Menurut Akmal Nasrullah, penilaian terhadap trend kehilangan pekerjaan tidak boleh dibuat berdasarkan angka semata-mata, sebaliknya perlu dilihat secara menyeluruh.
“Kalau kita lihat dari segi angka, kita kena tengok secara holistik juga. Cuma, sudah pasti kita akan nyatakan apa tahap terkini untuk bulan Mei nanti dan juga langkah-langkah untuk terus membantu para pekerja yang terkesan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Ekonomi akan terus memberi tumpuan kepada usaha menangani cabaran semasa ekonomi dan pasaran pekerjaan di samping meneruskan agenda pembangunan negara khususnya dalam sektor semikonduktor.
“Kita tetap memberi tumpuan penuh kepada menguruskan krisis. Pada masa yang sama, dedikasi kita kepada sektor semikonduktor supaya agenda ‘Made by Malaysia’ menjadi satu kenyataan,” katanya.-UTUSAN










