KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia dituntut supaya memberi penjelasan berkaitan dengan laporan Global Financial Report 2019 yang mendakwa lebih RM100 bilion aliran wang haram dibawa keluar daripada Malaysia yang juga merupakan yang tertinggi dalam dunia.
Dalam perbahasan Belanjawan 2022 peringkat jawatankuasa, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim minta supaya pihak kerajaan memberi jawapan susulan kelembapan dalam memberikan penjelasan berkaitan isu tersebut.
“Jadi saya minta walaupun Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak kata tiada kes berkaitan isu itu dan juga berkata Global Financial Integrity (GFI) juga tiada kaitan, saya rasa aneh kerana seperti yang saya sebutkan, Global Financial Report 2019 meletakkan Malaysia paling tinggi aliran wang haram yang dibawa keluar iaitu RM33.7 bilion lebih daripada RM130 bilion dan kalau ini dianggap ringan maka malapetaka la negara ini.
“Jadi kita kena ingat selain itu GFI dan kita sudah bangkitkan tentang kenyataan yang diberi kerjasama oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dan ini bukan perkara baharu.
“Saya rumuskan terlalu lama laporan ini telah dibuat tetapi paling lembap tindakan agensi-agensi terlibat dalam negara kita,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas tentang Pusat Governans Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Anwar berkata, sebelum ini beliau telah bangkitkan kes Pandora Papers dan perdana menteri memberi jaminan akan memanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Bank Negara, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Namun begitu, beliau mendakwa masih tidak mendapat sebarang maklumat daripada badan tersebut yang sepatutnya meneliti laporan yang diterbitkan International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) sekali gus menunjukkan seolah-olah tiada kesungguhan untuk terus menjelaskan perkara itu.
“Ini penting kerana jabatan-jabatan ini juga ada yang terpalit dengan beberapa tuduhan termasuk penglibatan bekas Gabenor Bank Negara,” katanya.
Anwar dalam sesi itu telah membangkitkan lima perkara dalam perbahasannya termasuk isu kelulusan pemberian rumah bernilai RM100 juta kepada Najib; campur tangan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dalam proses rayuan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan menggesa semakan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963.
Selain itu, Ahli Parlimen Port Dickson itu juga telah mengemukakan pandangan berkaitan keperluan untuk merombak semula prosedur operasi standard (SOP) semasa pilihan raya diadakan.
“SOP ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan itu kemudian diikuti oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Ini bagi saya, ini banyak mengekang kebebasan ,” ujarnya.










