SETIAP kali masyarakat berbicara tentang autisme, perbincangan itu sering bermula dengan cabaran. Kita bercakap tentang kelewatan perkembangan, kesukaran komunikasi, masalah tingkah laku, tekanan keluarga dan keperluan intervensi.
Semua itu benar. Namun, jika perbincangan tentang autisme hanya berkisar pada kekurangan, maka kita sebenarnya masih belum benar-benar memahami autisme.
Autisme perlu dilihat dengan kerangka yang lebih luas, lebih manusiawi dan lebih matang. Autisme ialah sebahagian daripada neurodiversiti, iaitu kepelbagaian cara otak manusia berkembang, berfikir, belajar dan berinteraksi.
Dalam kata lain, individu autisme bukan “rosak” atau “kurang” berbanding orang lain, tetapi mereka memproses dunia dengan cara yang berbeza. Perbezaan ini kadangkala hadir bersama cabaran, tetapi pada masa yang sama juga hadir bersama kekuatan yang tidak boleh dipandang kecil.
Ramai individu autisme mempunyai kelebihan tersendiri. Ada yang sangat teliti, jujur, berdisiplin dengan rutin, fokus terhadap minat tertentu, serta mempunyai keupayaan mengingat fakta, pola atau maklumat dengan sangat baik.
Ada yang menyerlah dalam seni, muzik, teknologi, matematik dan tugasan yang memerlukan ketekunan tinggi. Maka, persoalan yang perlu kita tanyakan bukan lagi “Apakah kekurangan mereka?”, tetapi “Apakah kelebihan mereka dan bagaimana masyarakat boleh membantu potensi itu berkembang?”
Di sinilah pentingnya penglibatan komuniti. Kesedaran tentang autisme tidak boleh dipikul oleh keluarga sahaja. Sekolah, universiti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak berkuasa tempatan, media, pemimpin komuniti dan masyarakat umum mesti memainkan peranan yang lebih aktif.
Kita memerlukan komuniti yang bukan sahaja peka, tetapi juga responsif. Kita memerlukan sekolah yang lebih inklusif, tenaga pengajar yang lebih memahami neurodiversiti, ruang awam yang lebih mesra sensori, serta peluang sosial dan ekonomi yang lebih terbuka kepada individu autisme.
Apabila ibu bapa berkongsi pengalaman, apabila masyarakat setempat mula memahami keperluan keluarga autisme, apabila institusi pengajian tinggi turun padang menjalankan program sokongan dan latihan, maka ekosistem yang lebih inklusif dapat dibina sedikit demi sedikit.
Perubahan yang sebenar tidak lahir daripada slogan semata-mata, tetapi daripada tindakan bersama yang konsisten.
Universiti juga mempunyai tanggungjawab penting sebagai agen perubahan. Peranan universiti tidak seharusnya terhad kepada pengajaran dan penyelidikan sahaja, tetapi juga menjadi jambatan antara ilmu dan masyarakat.
Dalam isu autisme, universiti boleh menjadi pusat advokasi, latihan, inovasi intervensi, penghasilan modul sokongan keluarga dan penggerak kolaborasi antara pakar, pelajar, komuniti dan NGO.
Individu autisme tidak memerlukan belas kasihan yang bersifat sementara. Mereka memerlukan peluang yang adil, pendidikan yang sesuai, sokongan yang konsisten dan ruang untuk menunjukkan kemampuan sebenar mereka.
Sempena Bulan Kesedaran Autisme Sedunia, marilah kita bergerak daripada sekadar sedar kepada benar-benar faham. Daripada hanya memahami autisme sebagai cabaran, kita perlu belajar melihat autisme sebagai sebahagian daripada kepelbagaian insan.
Daripada hanya bercakap tentang inklusiviti, kita perlu membina inklusiviti itu dalam rumah, sekolah, tempat kerja dan komuniti.
Autisme bukan kekurangan, tetapi cara yang berbeza untuk melihat dunia. Dunia yang lebih baik ialah dunia yang sanggup menerima perbezaan itu dengan ilmu, empati dan tindakan. – UTUSAN
DR. NAZMIN ABDULLAH
Pusat Pengajian Pendidikan, UUM










